mk-logo
Berita
Rakyat muak gimik Ahmad Faizal, kata Aziz Bari
Diterbitkan:  Sep 20, 2021 10:10 AM
Dikemaskini: 2:10 AM

Ketua Pembangkang DUN Perak, Aziz Bari menempelak janji Ahmad Faizal Azumu untuk memulangkan gaji sebagai penasihat khas perdana menteri selama 11 hari, sebagai satu gimik oleh bekas menteri besar Perak itu.

Kata Adun Tebing Tinggi itu, gimik sedemikian tidak akan menghentikan kritikan terhadap menteri belia dan sukan itu, sebaliknya mengundang rasa muak rakyat.

Sedangkan, katanya, Ahmad Faizal sepatutnya menolak pelantikan sebagai penasihat khas kepada bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin kerana saiz pentadbiran yang terlalu besar, tidak perlu dan membebankan rakyat.

“Rakyat berasa muak dengan pelbagai gimik Ahmad Faizal Azumu … Tindakan tersebut tidak akan menghentikan pelbagai kritikan yang dilemparkan kepada beliau.

“Adalah lebih baik Ahmad Faizal diam dan menumpukan masa memastikan portfolio beliau berjaya dari membuang masa melakukan hal-hal remeh seperti mempromosi mi kari yang tiada kena mengena dengan peranan beliau sebagai ahli parlimen dan anggota pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, rakyat khususnya di Perak belum lupa tindakan Ahmad Faizal semasa menjadi menteri besar Perak, termasuk meninggalkan PH yang menyebabkan mandat rakyat tergadai, meskipun sebelum itu menuduh pihak lain yang mensabotaj pentadbiran kerajaan negeri.

Semalam, Ahmad Faizal yang juga kini menteri belia dan sukan dilaporkan mahu memulangkan keseluruhan RM27,000 gaji yang diterimanya sebagai penasihat khas perdana menteri selama 11 hari, untuk disumbangkan kepada Tabung Covid-19.

Dia dilantik mengisi jawatan penasihat khas itu pada 5 Ogos, namun hanya sempat bertahan selama 11 hari sebelum Muhyiddin meletakkan jawatan kerana hilang sokongan majoriti di parlimen.

Dalam tempoh 11 hari itu, Ahmad Faizal sempat menjadi perhatian warganet di media sosial dengan video ulasan makanan mi kari yang dibuatnya - dipercayai inilah yang dirujuk Aziz dalam kenyataannya.

Muhyiddin merupakan presiden Bersatu manakala Ahmad Faizal timbalannya.

Isu gaji Ahmad Faizal dipersoalkan di parlimen minggu lalu, dan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mendedahkan jumlah gaji diterima Ahmad Faizal, berjumlah RM27,227.20 - dibayar secara prorata, memandangkan tempoh perkhidmatan yang singkat.

Ia termasuk gantian notis penamatan perkhidmatan sebanyak satu bulan gaji.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS