Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Buka sekolah: 30 peratus terkapai, selebihnya terabai

ULASAN | Rasa teruja rakyat khususnya guru dan ibu baba terhadap pelantikan Mohd Radzi Jidin selaku menteri pendidikan buat kali kedua merosot setelah operasi sekolah pascapandemik diumumkan 12 Sept lalu.

Harapan untuk melihat sebuah perancangan yang lebih holistik dan meyakinkan semua gagal ditemukan dalam siri-siri pengumuman Mohd Radzi sejak dia menduduki semula kerusi tersebut.

Ibu bapa dan guru memang ada harapan amat tinggi selepas pandemik Covid-19 merencatkan proses pembelajaran anak-anak. Ibu bapa risau apabila melihat anak mereka tidak berminat lagi untuk belajar atau terputus daripada sistem pendidikan yang mereka ikuti.

Kecenderungan ini dibuktikan apabila saban hari jumlah murid yang menyertai sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) semakin merosot, manakala proses komunikasi dua hala di antara murid dan guru tidak dapat dijalankan.

Bagi pihak guru pula, walaupun mereka perlu akur kepada setiap arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), namun sebagai manusia biasa, mereka juga mengalami turun dan naik prestasi dalam kerja.

Tambahan pula, kaedah yang perlu digunakan semasa PdPR bukanlah seperti apa yang mereka pelajari sebelum ini. Sampai satu masa, dengan bebanan kerja pelaporan yang meningkat 50 peratus berbanding semasa sesi bersemuka, jumlah penyertaan murid dalam PdPR semakin merosot.

Berlaku juga krisis kepercayaan di antara guru dengan pihak atasan seperti pentadbir, pejabat pendidikan daerah (PPD) dan jabatan pendidikan negeri.

Ia menyebabkan semangat guru-guru menjadi tepu dan lemah.

Adanya sebuah ikrar baru Mohd Radzi dalam kerajaan Keluarga Malaysia ini, maka ibu bapa dan guru memberi seribu harapan untuk melihat suatu polisi atau perancangan yang menyeluruh daripada KPM tentang hala tuju pendidikan negara.

Tak faham secara lengkap

Kelegaan ibu bapa hanya akan tercapai setelah kita melihat pendidikan anak-anak mampu dipulihkan tanpa mengorbankan nilai kesihatan mereka. Guru pula mahu melihat seorang menteri dan dasar KPM yang mahu memberi kepercayaan kepada mereka melaksanakan tanggungjawab tanpa bebanan melampau.

Kesemuanya meleset apabila Mohd Radzi membuat pengumuman minggu lalu berkaitan pengoperasian semula sekolah mulai 3 Okt ini.

Apa yang penulis lihat, kegagalan Mohd Radzi menyampaikan maklumat jelas tentang hal itu menjadi satu petanda awal impak negatif persepsi ibu bapa dan guru kepadanya.

Buktinya, ramai guru hanya mampu berkongsi data atau bahan pengumuman tersebut di media sosial masing-masing namun tidak memahami secara lengkap apa yang ingin disampaikan.

Ada juga guru yang hanya melihat kepada keputusan yang melibatkan pihak mereka sahaja. Contohnya guru itu mengajar di negeri fasa tiga, maka guru itu hanya membaca atau mendengar pengumuman mengenai pembukaan sekolah di negeri fasa tiga sahaja, manakala bahagian lain tidak diendahkan kerana maklumatnya rumit untuk difahami.

Gambar fail

Selain itu, tanda yang pengumuman itu gagal difahami oleh rakyat jelata ialah apabila Mohd Radzi sendiri - melalui laman sosialnya - terpaksa membuat penjelasan susulan berbentuk video tentang pengumuman pembukaan semula sekolah.

Setelah pengumuman dibuat, hanya pakar-pakar dalam bidang pendidikan dan ahli politik yang mendapat keluhan ibu bapa dan guru saja memberi reaksi terhadap pengumuman itu. Ini kerana mereka dapat melihat apakah bebanan baru yang bakal muncul daripada pengumuman tersebut.

Antaranya KPM mengumumkan sekolah di negeri fasa empat akan bersekolah secara bersemuka naun bergilir-gilir mulai 3 Okt ini. Namun KPM juga menegaskan ibu bapa boleh tidak membenarkan anak mereka bersekolah.

Kaedah bergilir tak realisitik

Persoalan yang timbul ialah bagaimana dengan proses pembelajaran murid yang tidak perlu hadir ke sekolah atas kebenaran ibu bapa ini? Adakah mereka tidak akan belajar atau guru perlu membuat dua persediaan mengajar masing-masing untuk kaedah bersemuka dan PdPR?

Jika ini berlaku, maka penulis melihat bebanan guru semakin bertambah. Kalau begitu halnya, lebih baik semua PdPR sahaja!

Ini ketidakpastian yang gagal dijawab KPM, malah persoalan itu dibiarkan setiap hari. Yang menjadi masalah ialah ibu bapa yang perlu membuat keputusan, dan guru yang sedang menanti bebanan baru.

Penulis juga memetik pandangan daripada pakar pendidikan dari IPTA yang menyatakan bahawa kaedah penggiliran murid secara dalam amat tidak realistik.

Masalah akan timbul apabila guru yang sama terpaksa mengulang semula sukatan yang diajar kepada dua kumpulan berbeza pada dua waktu yang berasingan.

Mengapa KPM tidak membuat penggiliran mengikut kelas atau tahun yang lebih munasabah?

Selain itu, KPM juga mengumumkan bahawa sesi persekolahan 2021 yang sepatutnya tamat pada Dis tahun ini dianjakkan kepada Mac 2022.

Persoalan yang timbul adalah, mengapa KPM perlu menganjakkan sesi tersebut sedangkan sekarang - walaupun murid tidak bersekolah - PdPR telah dilaksanakan untuk menggantikan pembelajaran secara bersemuka.

Ia ibarat murid langsung tidak belajar apa-apa ketika PdPR berjalan.

Adakah KPM tidak meyakini keberkesanan PdPR yang dilaksanakan oleh guru-guru? Atau KPM memang mengakui PdPR versi Malaysia hari ini memang tidak memberi impak yang baik pada murid kita?

Oleh itu, KPM terpaksa menganjak sesi kepada Mac 2022 supaya guru-guru dengan cara bersemuka boleh mengulang semula pelajaran yang diajar semasa PdPR. Begitu?

Semuanya jadi sia-sia 

Mengenai isu PdPR ini, penulis mahu menegaskan bahawa pengumuman pembukaan semula sekolah oleh Mohd Radzi hanyalah melibatkan 30 peratus saja daripada keseluruhan murid di negara kita. Hal ini kerana, sekolah yang dibuka melibatkan negeri yang telah memasuki fasa empat pemulihan serta beberapa kawasan terpencil di negeri yang memasuki fasa dua dan tiga.

Sedangkan murid terbesar adalah daripada sekolah arus perdana dan di negeri fasa pertama, kedua dan ketiga. Ertinya buat masa ini - atau selepas Okt nanti - 70 peratus murid di negara kita masih menjalani proses PdPR.

Malah mereka tidak terkesan langsung dengan pengumuman Mohd Radzi tempoh hari.

Penulis menantikan juga adakah pengumuman atau tindakan susulan yang diambil oleh KPM untuk memberikan tumpuan kepada isu PdPR melibatkan jumlah murid yang lebih ramai. Namun tiada.

Sedarkah KPM bahawa betapa banyak masalah dan kekurangan yang dialami semasa PdPR dijalankan? Penumpuan kepada proses pembelajaran secara dalam talian semata-mata menyebabkan murid menjadi lecuh untuk mengikutinya.

Guru-guru juga hilang motivasi akibat kegagalan KPM dan Mohd Radzi mengenal pasti dan melaksanakan dasar mesra pendidik sedangkan pada waktu pandemik ini mereka perlu dijaga sebaik mungkin agar proses mengasuh anak bangsa berjalan sewajarnya.

Kegagalan KPM membina suatu dasar lengkap berkenaan PdPR mengakibatkan sepanjang tempoh PdPR berlangsung, segala-galanya menjadi sia-sia.

Bagi mereka, rekod yang lengkap dan kemas menjadi keutamaan berbanding mencapai objektif pembelajaran dan menuju falsafah pendidikan negara.

Kesimpulanya, 30 peratus murid yang akan dan perlu bersekolah secara bersemuka pada 3 Okt ini menuju ketidakpastian yang nyata apabila tiada prosedur operasi lengkap yang menyeluruh untuk meyakinkan ibu bapa membenarkan anak mereka ke sekolah.

Buat masa ini, JPN, PPD dan pentadbir sekolahlah yang terpaksa merangka kerja ini. Lebih baik KPM menurunkan kuasa mereka kepada JPN dan PPD serta pentadbir untuk menguruskan sekolah seperti cadangan seorang wartawan ketika pengumuman Mohd Radzi tempoh hari.

Bagi 70 peratus lagi murid yang sepatutnya menjalani proses PdPR akan terus terabai akibat tiadanya usaha untuk mengemas kini dan memperbaiki masalah PdPR yang dialami dalam negara kita.

Seribu kali sayang wahai negaraku.


SYAZMIR HARIZ NOORAZALAN ialah ahli jawatankuasa Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat Amanah Nasional, dan anggota Sekretariat Jawatankuasa Pendidikan PH.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS