Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes saman fitnah MP Sungai Siput ditangguh buat kali ketiga
Diterbitkan:  Sep 19, 2021 7:25 PM
Dikemaskini: 11:25 AM

Perbicaraan kes saman malu berhubung dakwaan gangguan seksual oleh Ahli Parlimen Sungai Siput S Kesavan terhadap bekas pembantunya ditangguh buat kali ketiga.

Ini selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memaklumkan bahawa mahkamah masih belum dibuka dan masih di bawah Pelan Pemulihan Fasa 2.

Penangguhan perbicaraan dimaklumkan kepada kedua-dua pihak menerusi sepucuk surat bertarikh 17 September ini yang dilihat Malaysiakini.

Menurut surat itu, kedua-dua pihak juga diminta mengemukakan tarikh baru perbicaraan pada November atau Disember depan.

Sekiranya tiada tarikh yang sesuai pada bulan tersebut, pihak mahkamah mencadangkan perbicaraan diadakan pada 5 hingga 7 Jan 2022.

Difahamkan hanya perbicaraan sivil tertentu sahaja yang diteruskan pada masa ini.

Pada Ogos lalu, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tun Mat dilaporkan berkata, keutamaan kes sivil yang memerlukan prosiding di mahkamah terbuka diberikan kepada kes pra-2021 dan yang melibatkan ke berkepentingan awam.

Wanita itu memfailkan saman terhadap Kesavan selepas ahli parlimen itu mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaaan melakukan gangguan seksual.

Perbicaraan bermula pada Mac 2021 dan dibicara selama dua hari sebelum ditangguh pada Jun 2021.

Pada Jun, perbicaraan sekali lagi ditangguh kepada 20 September kerana Perintah Larangan Perkawalan (PKP).

Kesavan diwakili firma Armand Ali & Co, manakala pihak plaintif diwakili peguam Rueben Mathiavaranam.

Pada 17 Mei lalu, Malaysiakini melaporkan Kesavan dan wanita berkenaan yang juga bekas bendahari PKR cabang Sungai Siput saling membuat laporan polis antara satu sama lain.

Dalam laporan polis itu, wanita berkenaan mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual anggota parlimen PKR berkenaan sejak Disember tahun lalu.

Manakala, Kesavan pula membuat laporan polis mengadu tentang trauma dan gangguan jiwa terhadapnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS