mk-logo
Berita
MB Perak: Rekahan di Jalan Simpang Pulai - Cameron memburuk jika hujan berterusan
Diterbitkan:  Sep 19, 2021 3:01 PM
Dikemaskini: 7:01 AM

Rekahan permukaan di Laluan Persekutuan FT 185 Seksyen 43.9, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley menghala ke Cameron Highlands, Pahang dikhuatiri akan bertambah buruk sekiranya keadaan cuaca hujan berterusan di lokasi berkenaan.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata siasatan awal di tapak mendapati terdapat rekahan ketara di permukaan jalan kira-kira sepanjang 30 meter (m) dan melibatkan pergerakan cerun yang berhampiran.

“Ia mungkin faktor hujan berterusan dan menyebabkan struktur tanah jadi lemah serta tidak kukuh kerana air mengalir lebih laju yang menyebabkan berlakunya mendapan dan keruntuhan tanah.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kinta menerima laporan mengenai kejadian berhampiran kawasan Rehat dan Rawat itu kira-kira pukul 5.20 petang semalam dan mengambil tindakan segera bersama pihak konsesi untuk menyediakan pelan pengurusan trafik di lokasi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat lokasi berkenaan hari ini.

Beliau berkata kemendapan yang kelihatan berkemungkinan berpunca daripada kegagalan cerun dan boleh membahayakan pengguna jalan raya malah risiko kejadian tanah runtuh turut dibimbangi akan berlaku.

Justeru, katanya laluan itu ditutup kepada semua jenis kenderaan sehingga keadaan diyakini selamat bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini kepada orang ramai.

“Notis penutupan jalan telah dikeluarkan serta-merta dan pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif Jalan Persekutuan FT 059 Jalan Tapah-Cameron Highlands sebagai jalan perhubungan sementara,” katanya.

Saarani berkata siasatan lanjut akan dijalankan oleh pakar bagi mengenal pasti punca dan kaedah pembaikan yang akan dilaksanakan dan pemantauan berterusan akan dijalankan sebagai langkah persiapan awal bagi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Sementara itu, Pengarah JKR Perak Zulkipli Nasri berkata laluan sementara di tempat kejadian akan dilencongkan di tepi laluan runtuhan yang hanya akan dibuka kepada kenderaan ringan selepas siasatan lanjut selesai.

Zulkipi berkata perbincangan teknikal akan dilakukan bersama cawangan pakar cerun dari ibu pejabat JKR bagi menentukan kaedah yang akan digunakan bagi kemudahan pengguna jalan raya khususnya mereka yang terlibat dalam aktiviti ekonomi di Cameron Highlands seperti projek tanaman sayur.

Menurutnya, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM130 juta bagi melakukan penjajaran semula laluan sepanjang 600m di lokasi berkenaan namun runtuhan jalan berlaku lebih awal akibat hujan berterusan sebelum ia dirancang untuk dilaksanakan pada Disember ini.

Beliau berkata kerja membaik pulih dan penambahbaikan laluan itu sedang dalam peringkat reka bentuk selain perbincangan bersama pihak kontraktor dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun pada Disember 2024.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS