Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Vaksinasi di beberapa negeri turunkan kadar kematian

Vaksinasi Covid-19 yang dilaksanakan di beberapa negeri membantu menurunkan kadar kematian walaupun terdapat peningkatan jangkitan, menurut pegawai Kementerian Kesihatan.

Pulau Pinang misalnya, mencatatkan lebih 1,000 jangkitan baru setiap hari dalam tempoh sebulan lalu.

Menurut data CovidNow, meskipun kadar kes tinggi, kadar kemasukan ke hospital dan penggunaan ventilator mula menurun. Kadar kemasukan ke unit Rawatan Rapi (ICU) juga kelihatan stabil.

Sejak seminggu lalu, jumlah kematian harian mulai menurun.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Perubatan KKM, Dr Faizah Muhamad Zin mengesahkan data kematian terkini akibat Covid-19 di Pulau Pinang.

"Pulau Pinang tidak mempunyai tunggakan jadi itu adalah data masa nyata dari Pulau Pinang," katanya semasa taklimat CovidNow kepada media pagi ini.

Ketika ditanya mengapa Pulau Pinang mengalami penurunan kadar kematian walaupun terdapat banyak kes, Faizah menyatakan kadar vaksinasi di negeri ini sebagai sebab utama.

"Anda harus menghubungkan (ini) dengan peningkatan vaksinasi, liputan vaksinasi dan kemasukan ICU, " katanya.

Pada 17 September, kementerian mencatatkan 56.4 peratus daripada jumlah penduduk Pulau Pinang telah divaksinasi sepenuhnya. Ini merupakan 73.1 peratus daripada jumlah populasi dewasa di negeri ini.

Analisis yang dibentangkan Faizah diperkukuhkan oleh ketua data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Negara (CPRC), Dr Mahesh Appannan.

"Ada banyak faktor lain, vaksinasi yang hebat sebenarnya menurunkan (kematian)," katanya.

Selain Pulau Pinang, KKM menyatakan vaksinasi juga membantu mengurangkan kadar kematian di Sarawak.

Sarawak mengalami peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 sejak sebulan lalu. Negeri itu mencatatkan 3,480 kes baru semalam.

Sementara itu, kematian akibat Covid-19 di Sarawak mencatatkan dua digit. Semalam negeri ini mencatatkan lima kematian.

Kadar penggunaan hospital, ICU dan ventilator di Sarawak meningkat tetapi tidak melebihi kapasiti. CovidNow menyatakan kadar penggunaan ventilator di negeri itu berada pada 41.2 peratus.

Pada 17 September, kementerian mencatatkan 64.6 peratus daripada jumlah penduduk Sarawak telah diberi vaksin sepenuhnya. Ini merupakan 89.1 peratus daripada jumlah populasi dewasa di negeri ini.

Hari ini adalah kali kedua kementerian mengadakan sesi taklimat CovidNow untuk petugas media.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS