mk-logo
Berita
Reman lelaki pandu lawan arus dilanjut tiga hari
Diterbitkan:  Sep 17, 2021 3:22 PM
Dikemaskini: 7:22 AM

Tempoh reman terhadap seorang lelaki yang memandu kenderaan pacuan empat roda secara melawan arus hingga menyebabkan kematian dua individu di Lebuhraya Persekutuan, dekat Shah Alam, 12 Sept lepas, disambung tiga hari lagi.

Perintah reman dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam Norliza Hussin selepas membenarkan permohonan polis bagi melanjutkan siasatan terhadap lelaki berusia 24 tahun itu bermula esok hingga 20 Sept.

Sebelum ini, lelaki itu direman enam hari bermula 12 Sept lepas hingga hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu lelaki itu tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam pada 9.20 pagi.

Turut kelihatan, peguam Ravi Nekoo dan R Thanuja yang mewakili lelaki berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan seorang remaja perempuan berumur 18 tahun dan seorang lelaki berumur 19 tahun maut selepas kereta Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki secara melawan arus pada 2.09 pagi, di KM8.5 Lebuhraya Persekutuan, dekat Shah Alam, 12 Sept lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib menerusi kenyataan dilaporkan berkata hasil saringan awal ujian air kencing mendapati pemandu itu positif dadah jenis ganja.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS