Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saman fitnah Anwar: Apa pun berlaku, perbicaraan rayuan KJ perlu diteruskan - hakim

Mahkamah Rayuan membuat teguran terhadap permohonan pasukan peguam Khairy Jamaluddin untuk menangguhkan rayuannya - yang sekian lama tertangguh - terhadap saman fitnah yang difailkan ketua pembangkang Anwar Ibrahim.

Lee Swee Seng yang mempengerusikan panel tiga hakim mengingatkan peguam menteri kesihatan itu, Sarah Malini Abishegam yang pihaknya seharusnya menyediakan peguam lain untk penghujahan jika ketua pasukan pembelaan kurang sihat.

Sarah sebelum itu memohon penangguhan (yang dijadual hari ini) dengan sebab ketua pasukan pembelaan, Muhammad Shafee Abdullah tidak dapat menghadiri prosiding dalam talian hari ini kerana kurang sihat.

Muhammad Shafee Abdullah

Dia berkata Shafee demam ekoran sakit rheumatoid arthritis, selain mengalami kesakitan di pergelangan tangan dan bahu kanan.

Mahkamah Rayuan hari ini dijadual mendengar merit rayuan Khairy berhubung perintah yang mengarahnya untuk membayar ganti rugi RM150,000 kepada Anwar, berkaitan kenyataan "main belakang" pada 2008.

Pada 29 September 2017, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan yang Khairy telah memfitnah Anwar dengan kenyataan itu.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi juga menolak permohonan Khairy untuk mengubah pernyataan pembelaannya.

Hari ini Lee berkata, kes tersebut sudah berlangsung sejak 2017 dan perlu diselesaikan secepat mungkin pada tahun ini.

"Penangguhan seterusnya (hari ini) adalah penangguhan terakhir. Tiada lagi penangguhan akan dibenarkan.

"Jika ketua peguam (Shafee) ada masalah kesihatan, peguam lain perlu menggantikannya dan beri hujahan untuk kes ini.

"Kes ini, walau apa saja yang berlaku (come rain or shine, rain or flood), akan diteruskan," kata Lee.

Panel hakim Mahkamah Rayuan dianggotai Vazeer Alam Mydin Meera dan Darryl Goon Siew Chye.

Ketika ditanya panel, peguam Anwar, J leela berkata pihaknya tidak membantah permohonan penangguhan.

Lee kemudian menetapkan pengurusan kes bagi perkara itu di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan pada jam 11 pagi ini, bagi menetapkan tarikh baru untuk rayuan Khairy.

Susulan pengurusan kes hari ini, Mahkamah Rayuan menetapkan rayuan Khairy akan didengar 2 November ini.

Pemeriksaan terhadap senarai kausa di ecourtservices.kehakiman.gov.my menunjukkan ia akan didengar bermula jam sembilan pagi.

Pada 19 Februari 2018, Mahkamah Rayuan menolak rayuan tersebut atas sebab teknikal tanpa mendengar meritnya.

Bagaimanapun, pada 15 Disember tahun lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Khairy terhadap penolakan itu dan mengarahkan Mahkamah Rayuan mendengarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS