Sejumlah 20 aktivis muda, termasuk bekas pemimpin pelajar Adam Adli dan Asheeq Ali Sethi Alivi, menyertai PKR hari ini.
Wakil kumpulan itu menyerahkan borang keahlian kepada presiden parti Anwar Ibrahim dalam satu acara di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor pagi ini.
Dalam ucapan alu-aluannya, Anwar menyuarakan rasa bangga dengan penyertaan mereka yang disifatkannya sebagai kalangan yang mempunyai idealisme dan komited dalam perjuangan.
"Apabila Adam, Asheeq dan beberapa teman mereka menemui saya, saya berasa bangga. (PKR kini dianggotai) kalangan aktivis muda yang terkenal dengan idealisme, komitmen dan perjuangan mereka.
"Mereka bukan anggota rasmi PKR (sebelum ini) tetapi penggerak reformasi rakyat," katanya dalam sidang media ketika acara itu.
Adam bermula sebagai aktivis pelajar ketika menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Dia mula mengundang perhatian kira-kira 10 tahun lalu, apabila bersama beberapa beberapa aktivis pelajar lain mengadakan tunjuk perasaan berhubung penempatan bakal guru.
Adam juga terpalit dengan beberapa kontroversi, termasuk ketika menurunkan bendera yang memaparkan gambar perdana menteri ketika itu, Najib Razak di ibu pejabat Umno semasa tunjuk perasaan pada Disember 2011.
Asheeq pula, yang ketika ini merupakan peguam, bermula sebagai aktivis pelajar ketika di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Dia antara yang mengetuai tunjuk perasaan yang dinamakan TangkapMO1 pada 2016, yang dianjurkan berikutan pemfailan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) yang menyatakan "Malaysian Official 1" telah menerima AS$731 juta dari 1MDB.
Penyertaan Asheeq dalam tunjuk perasaan itu menyebabkan dia digantung pengajian selama satu semester.
Bercakap dengan media, Adam berkata keputusan untuk menyertai PKR dibuat kerana merasakan parti itu sesuai dengan pandangan politiknya.
“PKR adalah sebuah landasan politik berbilang kaum yang biarpun tidak mungkin sepenuhnya sempurna, namun sesuai dengan tekad politik yang diyakini saya hari ini,” katanya.
Sementara itu, Asheeq pula berkata merekamenyertai PKR kerana negara ini memerlukan lebih banyak wakil golongan muda.
“Anak muda merupakan pemimpin negara yang patut diangkat. Anak muda tak patut diasingkan pimpinan parti politik...patut diangkat suara kami semua.
“Untuk itu, kami hari ini buat keputusan menyertai PKR,” katanya.