Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said hari ini mempengerusikan persidangan Dewan Rakyat sesi petang sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat buat sementara waktu.
Menjelaskan kekeliruan ahli parlimen yang ada di Dewan, Azalina berkata Speaker Azhar Azizan Harun memintanya berbuat demikian bawah peraturan mesyuarat 7(3).
“Saya telah diminta Speaker di bawah 7(3) diminta untuk pengerusikan mesyuarat bagi sementara waktu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Pada mulanya, ahli parlimen pembangkang yang ada di situ teruja dengan kemunculannya semula yang disangkakan menggalas jawatan sebagai timbalan speaker.
M Karuppaiya (Padang Serai-PH) dan Lim Lip Eng (Kepong-PH) mengucapkan tahniah dan selamat kembali bertugas.
Kemudian Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang-PH) meminta Azalina menjelaskan keadaan sebenar kerana berasa terkejut.
“Saya tak ada masalah YB Pengerang mempengerusikannya.. Adakah ini betul? sedangkan kita sedang bermesyuarat bincangkan titah diraja dan tiada pemakluman daripada speaker tentang penggantian yang begitu mudah dan simple.
“Soalnya adakah aturan mesyuarat ini digunapakai dengan betul?” soalnya.
Selepas itu Sim Tze Tzin (Bayan Baru-PH) menyatakan kekecewaanya kerana Azalina sebelum ini meletak jawatan sebagai timbalan speaker dan berpendapat bahawa Azalina perlu mengisi semula kekosongan jawatan tersebut dengan secepat mungkin.
“Saya baca berita bahawa ada masalah Bersatu tak setuju dengan Umno yang lantik speaker baru. Ini isu dalaman… selesaikan.
“Jangan sampai parlimen tak ckup speaker nak mempengerusikan dan sekarang terpaksa lantik Pengerang (Azalina) jadi speaker sementara,” katanya.
Timbalan Speaker Rashid Hasnon dalam kenyataannya berhubung perkara itu menyatakan dalam peraturan mesyuarat 7(3), pada bila-bila masa mesyuarat bersidang, Tuan Yang di-Pertua boleh meminta seseorang ahli mempengerusikan mesyuarat itu bagi sementara dengan tidak payah diberitahu Majlis Mesyuarat dengan secaranya dan ahli yang mempengerusikan ini tetaplah terserah kepadanya semua kuasa-kuasa Tuan Yang di-Pertua sehingga Tuan Yang di-Pertua kembali semula mengetuakan mesyuarat.
Sementara itu, Azalina mengulangi semula penjelasannya.
“Di bawah 7(3), (jawatan disandang) sementara saja macam muta’ah, kejap saja… Isnin atau Selasa mungkin orang lain,” katanya.
Pada 23 Ogos lalu, Azalina mengesahkan peletakan jawatannya sebagai timbalan speaker.
Dia pada masa sama berharap pengundurannya membolehkan "reset" pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.