PARLIMEN | Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) membidas rakan pembangkang dalam Pakatan Harapan kerana menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan kerajaan persekutuan.
Presiden Warisan menegaskan Langkah Sheraton tahun lalu telah 'mencuri' mandat PH dan sekutunya tetapi sekarang PH sanggup bekerjasama dengan pihak terbabit.
"Kita kuasa yang ada, diberi mandat oleh rakyat. Dirompak (stolen) mandat itu. Ya, kita akui betul. Kami bersetuju.
"Namun sekarang kita kerjasama dengan mereka. Kita menandatangani memorandum dengan mereka.
"Kita tidak sedar hal itu. Di mana nilai dalam hidup kita?
"Saya tidak mahu pada akhirnya di kemudian hari, jika kerajaan sekarang gagal dan oleh sebab saya telah menandatangani memorndum itu, saya juga (akan turut sama dianggap) gagal.
"Rakyat akan melihatnya. Tentang bagaimana kedudukan pemerintah negara ini," kata Shafie ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini.
Jelas Mohd Shafie, ini tidak bermaksud dia tidak peduli terhadap negara atau nasib rakyat, ataupun perpaduan negara akan rosak jika dia tidak menandatangani MOU untuk bekerjasama dengan kerajaan itu.
Negara dan rakyat patut selalu menjadi keutamaan, tetapi katanya, keadaan sekarang banyak didorong oleh "keserakahan dan nafsu" untuk jawatan.
Malah kata Shafie, dia bahkan sanggup bertanding melawan saudaranya sendiri Yusof Apdal - yang kekal bersama Umno setelah Shafie digantung daripada parti itu - pada pilihan raya umum ke-14.
Semua ini, katanya demi negara. Selepas PRU14, Yusof telah menyertai Warisan.
Punca ketidakstabilan semasa dalam lanskap politik negara adalah kerana mandat rakyat dicuri, tegasnya.
Menurut Shafie lagi, hal ini menyebabkan terlalu banyak perhatian ditumpukan kepada siapa yang memiliki "nombor" sokongan mencukupi majoriti ahli parlimen untuk mendapatkan kekuasaan.
"Kami bermain dengan angka untuk nyawa manusia di negara ini," kata Shafie.
Dia berkata demikian sambil bersetuju dengan Azalina Othman Said (BN-Pengerang) mengenai perlunya undang-undang antilompat parti.
Shafie kemudian menyarankan agar undang-undang antilompat parti mengenakan hukuman terhadap ahli parlimen telah "melompat", seperti digantung bertanding dalam pilihan raya dengan sejumlah syarat.
"Atau digantung seumur hidup sehingga mereka tidak dapat bertanding dalam politik lagi, kerana mereka telah memberikan contoh buruk kepada rakyat negara ini," katanya.
Pada hari Isnin, PH dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, telah menandatangani perjanjian bersama yang dijuluki 'Memorandum Persefahaman tentang Transformasi dan Kestabilan Politik'.
Kesepakatan itu menyaksikan kerajaan pimpinan Ismail berjanji untuk melaksanakan sejumlah reformasi institusi dalam tempoh waktu tertentu.
Sebagai balasannya, PH menawarkan janji bersyarat untuk tidak menggulingkan Ismail daripada kerajaan dan akan menyokong Belanjawan 2022.
Pada ucapannya kemudian, Lim Guan Eng (PH-Bagan) mempertahankan MOU itu, menegaskan PH masih memainkan peranan sebagai pembangkang.
"Sekiranya kerajaan melakukan sesuatu yang salah, kami akan mengkritik. Sekiranya ada rasuah, pembaziran, pembangkang tidak akan melepaskannya.
"Jangan fikir hanya kerana kami menandatangani MOU, kami memberi mereka pas percuma. Tidak, tidak, tidak, kami masih pembangkang,” kata Lim.
Dia juga mengulangi bantuan langsung yang dapat diperolehi rakyat daripada MOU itu apabila kerajaan bersetuju suntikan fiskal RM45 bilion untuk memerangi pandemik Covid-19.