Bekas perdana menteri, Najib Razak mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam usaha menyingkirkan Gopal Sri Ram sebagai sebahagian pasukan pendakwaan dalam kes berkaitan 1MDB.
Pasukan peguamnya mengemukakan Notis Rayuan pada Jumaat minggu lalu berikutan keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan bekas hakim mahkamah persekutuan itu sebagai timbalan pendakwa raya (DPP) dalam kes berkenaan.
Peguam Najib, Nur Syahirah Hanapiah mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa mereka telah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
"Kami telah memfailkan notis rayuan untuk menggugurkan Gopal Sri Ram pada 10 September 2021," katanya hari ini.
Ketika dihubungi oleh Malaysiakini hari ini, DPP Ahmad Akram Gharib juga mengesahkan perkara itu.
Sri Ram, dibantu oleh Akram dan beberapa DPP lain, adalah pendakwa dalam beberapa perbicaraan berkaitan 1MDB terhadap Najib yang belum selesai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, seperti kes pindaan terhadap laporan audit 1MDB dan kes rasuah RM2.28 bilion 1MDB.
Pada 28 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman oleh Najib untuk menggugurkan Sri Ram sebagai pendakwa raya dalam perbicaraan berkenaan.
Pada 15 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sekali lagi menolak permohonan Najib untuk menggugurkan Sri Ram sebagai pendakwa raya dalam kes-kes yang berkaitan dengan 1MDB.
Bekas perdana menteri itu kemudian mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan, yang kemudian menolak rayuannya pada Khamis minggu lalu.
Antara yang dibangkitkan pasukan peguam Najib adalah Sri Ram berat sebelah dan terdapat konflik kepentingan.
Mereka membangkitkan dakwaan pertemuan antara Sri Ram dengan Mohamed Apandi Ali, ketika itu peguam negara, pada Januari 2018.
Dalam hantaran di Facebook tahun lalu, Apandi mendakwa Sri Ram cuba memujuknya agar memainkan peranan untuk menahan Najib yang ketika itu merupakan perdana menteri.
Peguam juga berkata pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya oleh bekas peguam negara Tommy Thomas sebagai tidak sah, mendakwa surat pelantikan bertarikh 30 Ogos 2018 turut secara salah memberi kuasa penyiasatan kepadanya.