Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahli parlimen gesa KDN pertimbang semula syarat baru kelayakan MM2H

Kementerian Dalam Negeri digesa supaya mempertimbangkan semula syarat kelayakan program Malaysia My Second Home (MM2H) dengan melibatkan kawasan ahli-ahli parlimen yang turut terjejas dengan prosedur baru itu, kata ahli parlimen Segambut Hannah Yeoh.

Menurut Yeoh, syarat kelayakan baru itu bukan sahaja menakutkan mereka yang ingin menetap ke negara ini tetapi memberi kesan kepada negara.

Dia merujuk kepada jawapan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat pagi tadi yang menyatakan negara inginkan peserta baru MM2H yang berkualiti dan tidak mengancam keselamatan negara.

Untuk tujuan itu, deposit tetap minimum dinaikkan daripada RM150,000 kepada RM1 juta.

“Untuk program sedia ada yang memberi kesan kepada kehidupan mereka yang telah menetap di sini - Malaysia sebagai rumah kedua mereka, anda tidak boleh menggunakan dasar keselamatan sebagai alasan utama untuk meneliti semula setiap kes (peserta).

“Jadi jika anda mahu, polis sepatutnya dah tahu sekarang - siapa yang beri ancaman buat negara dan anda boleh menyingkirkan mereka yang mencetuskan ancaman keselamatan,” kata Yeoh dalamsatu sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

“Program ini bertujuan untuk menarik pelancong ke Malaysia dan menggalakkan perbelanjaan di sini,” katanya lagi.

Bawah syarat kelayakan MM2H yang baru, pendapatan bulanan minimum dinaikkan 400 peratus daripada RM10,000 kepada RM40,000.

Deposit tetap minimum juga dinaikkan daripada RM150,000 kepada RM1 juta.

Tambah Yeoh, syarat baru itu menjejaskan komuniti di kawasannya seperti di Desa Park City, Bukit Kiara dan Haratamas, apabila peserta MM2H bimbang dengan syarat baru itu.

“Ia akan memberi kesan kepada sewa hartanah di mana kebanyakan pemiliknya adalah rakyat Malaysia dan menjejaskan industri F&B (makanan dan minuman), mereka bimbang akan kehilangan pelanggan mereka.

Malah katanya sekolah-sekolah swasta dan antarabangsa akan turut terjejas dengan prosedur itu.

“Kita menggesa menteri dalam negeri sekiranya anda mahukan perkara seperti ini, sekurang-kurangnya anda perlu membuat rundingan dengan semua wakil-wakil rakyat, ahli-ahli parlimen yang terjejas kerana bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi juga di Pulau Pinang,” katanya.

Jumlah sesuai pada masa sekarang

Terdahulu, Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau - PKR) dalam soalan tambahannya bertanya adakah Hamzah telah mengkaji tentang impak kepada imej negara memandangkan prosedur MM2H yang berubah-ubah.

Hamzah sebaliknya mempertahankan bahawa ia tujuan menambahbaik daripada prosedur sedia ada bagi peserta baru yang ingin menyertai program MM2H.

Pada masa sama, ahli parlimen Larut menjelaskan bahawa peserta lama turut akan dikaji dari aspek kes demi kes untuk tujuan keselamatan.

“Ada peserta MM2H tapi hanya gunakan sebagai transit saja buat dan buat masalah tak dingini - masalah keselamatan.

“Untuk MM2H bantu negara, kita nak masukkan orang yang berkualiti. (Jadi) apa salahnya kita nak masukkan orang-orang yang berkualiti?

“Kita nak hanya RM150,000 dah layak masuk ke negara kita ni pasal apa? Sepatutnya kita mesti fikirkan yang nak duduk dalam negara kita (orang) yang berkualiti - sekurang-kurangnya ada RM1 juta,” katanya

Katanya, kriteria jumlah deposit tetap minimum itu ditingkatkan dari RM150,000 ke RM1 juta dilihat sesuai dengan keadaan sekarang, memandangkan program tersebut telah mula sejak tahun 2002.

“Sekarang pada saya ia tidak sesuai lagi sebab itu kerajaan ingin berikan penambahabaikan dan menentukan mereka yang ada di sini adalah berkualiti,” katanya.

Lihat Komen
ADS