Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Annuar tak tolak perjanjian sama dimeterai dengan pembangkang lain
Diterbitkan:  Sep 14, 2021 8:25 AM
Dikemaskini: 12:25 AM

Ahli Parlimen Ketereh dari Umno Annuar Musa, yang sebahagian daripada pasukan rundingan dalam merangka memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan PH, tidak menolak kemungkinan perkara sama akan dicapai dengan parti pembangkang lain.

"Sebenarnya ini permulaan antara kerajaan dengan sebuah gabungan politik utama dalam saf pembangkang iaitu PH.

"Kita percaya ia akan disusuli pula dengan parti lin dalam saf pembangkang kerana masih ada Warisan, Pejuang dan Muda. Ada juga wakil rakyat bebas," katanya dalam satu rakaman audio selepas acara tandatangan MoU semalam.

Walaupun ia hanya melibatkan kerajaan dan pemimpin PH, Annuar yang juga menteri komunikasi dan multimedia percaya ia tidak bersifat eksklusif.

"Perjanjian ini tidak eksklusif untuk PH. Kita telah pun sama bersetuju bahawa kalau ada pihak yang bersependapat, maka tindakan serupa (melibatkan mereka) boleh dilakukan kerajaan," katanya.

Dinamakan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik, ia ditandatangani Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin utama PH.

Ismail dan Annuar mewakili kerajaan.

PH pula diwakili oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, Presiden Upko Wilfred Madius Tangau dan Timbalan Presiden Upko Donald Peter Mojuntin.

Turut hadir adalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim.

Antara persetujuan yang dicapai adalah PH tidak akan menghalang kerajaan dalam undi kritikal di Dewan Rakyat yang boleh membawa kesan terhadap survivalnya, seperti belanjawan.

Sebagai pertukaran, kerajaan akan mengusahakan sejumlah pembaharuan dan dasar yang sebelum ini dibawa PH.


Baca selanjutnya: MoU Transformasi dan Kestabilan Politik: Berikut apa yang dipersetujui k'jaan, PH


Annuar berkata MoU itu berdasarkan persetujuan bersama dan pembangkang masih boleh memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan.

"Ini bukan jajaran politik baru atau kerajaan perpaduan.

"Ini merupakan kaedah di mana ada titik persamaan antara pembangkang dan kerajaan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS