Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MoU Transformasi dan Kestabilan Politik: Berikut apa yang dipersetujui k'jaan, PH
Diterbitkan:  Sep 13, 2021 9:18 PM
Dikemaskini: Oct 11, 2021 3:32 PM

Kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob dan PH hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Secara asasnya, dengan pemeteraian itu, PH tidak akan menghalang kerajaan dalam undi kritikal di Dewan Rakyat yang boleh membawa kesan terhadap survivalnya, seperti belanjawan.

Sebagai pertukaran, kerajaan akan mengusahakan sejumlah pembaharuan dan dasar yang sebelum ini dibawa PH.

Malaysiakini telah melihat MoU tersebut - yang dijangka akan diterbitkan esok - dan mengesahkan ketulenannya dengan anggota pasukan rundingan.

Bagaimana ia berfungsi?

Jawatankuasa kerja dengan 10 anggota akan dibentuk, merangkumi lima wakil kerajaan dan lima wakil pembangkang.

Mereka akan mengadakan pertemuan setiap dua minggu atau ketika waktu yang dipersetujui bersama, untuk berunding dan memantau pelaksanaan MoU.

Apakah syarat-syarat asas?

Kerajaan setuju untuk tidak membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai 2022.

Ada juga klausa khusus yang menyatakan persefahaman ini tidak patut dirahsiakan.

Ia juga menyatakan persetujuan adalah apa yang terkandung dalam memorandum, dan sebarang cadangan lisan atau tidak bertulis tidak terpakai.

Pelanggaran terhadap persetujuan akan menyebabkannya tidak lagi sah.

Apa yang dijangka daripada PH?

PH akan menyokong atau berkecuali dalam undian belanjawan 2022 dan undang-undang perbekalan atau kewangan berkaitan dengannya.

Ia dengan syarat penggubalan belanjawan dan rang undang-undang (RUU) yang berkaitan dengannya dirunding dan dipersetujui secara bersama antara kerajaan dan PH.

PH juga akan menyokong atau berkecuali dalam sebarang RUU yang boleh ditafsirkan sebagai undi percaya, dengan syarat perangkaannya turut dirunding dan dipersetujui secara bersama.

MoU turut mengandungi bahagian yang menyatakan ia tidak boleh menghalang peranan PH sebagai semak dan imbang kepada kerajaan.

Apa yang dijangka daripada kerajaan?

Pelaksanaan MoU dibahagikan kepada tiga garis masa - perkara yang akan dilaksanakan segara, perkara yang akan dilaksanakan dalam tahun ini dan perkara yang akan dilaksanakan dalam separuh pertama 2022.

Pembaharuan Parlimen

Kebanyakan perkara yang perlu dilaksanakan segera berkaitan dengan pembaharuan parlimen.

Ia adalah seperti berikut:

  • Mewujudkan lebih banyak jawatankuasa pilihan khas parlimen dan menstruktur semula jawatankuasa sedia ada.
  • Memastikan komposisinya mencerminkan perwakilan parti di Dewan Rakyat.
  • Memastikan jawatankuasa dipengerusikan secara sama rata oleh ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.
  • Kerajaan menyediakan pegawai sokongan dan dana yang wajar untuk menyokong perjalanan jawatankuasa.
  • Meminda Peraturan Mesyuarat bagi memastikan prosiding Dewan Rakyat dan Dewan Negara teratur.
  • Peruntukan sama rata untuk ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.
  • Memastikan ketua pembangkang diberikan hak dan kemudahan yang sewajarnya.

Satu kaveat yang perlu dinyatakan adalah jaminan peruntukan sama rata hanya untuk ahli parlimen yang terlibat dalam MoU ini.

Ini bermakna kerajaan masih boleh menafikan peruntukan sama rata terhadap parti pembangkang lain seperti Pejuang dan Warisan yang tidak menyertainya.

Satu lagi yang perlu dinyatakan adalah MoU ini tidak menggariskan secara jelas berkenaan hak dan kemudahan "sewajarnya" kepada ketua pembangkang.

Terdahulu, ada yang mencadangkan ia perlu setaraf dengan seorang menteri.

Satu lagi perkara dalam pembaharuan Parlimen adalah pengenalan sebuah Akta Perkhidmatan Parlimen yang akan membolehkan Parlimen menguruskan sendiri kewangannya.

Ia perlu diluluskan selewat-lewatnya pada sidang mesyuarat kedua Penggal Ke-5 Parlimen, yang dijangka berlangsung pada separuh pertama 2022.

Transformasi Pentabdiran

Bahagian ini merangkumi tiga komponen:

  • Membentangkan dan meluluskan RUU anti lompat parti.
  • Mempercepat pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pengundi automatik.
  • Membentangkan dan meluluskan pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh memegang jawatan perdana menteri kepada 10 tahun.

Semua ini perlu dilaksanakan selewat-lewatnya pada mesyuarat pertama Penggal Ke-5 Parlimen, yang dijangka berlangsung pada separuh pertama 2022.

Pemerkasaan pelan Covid-19

Sejumlah dasar fiskal sudah pun dalam pelaksanaan tetapi kini akan "dipertingkatkan".

Antara perkara yang dibangkitkan PH sebelum ini adalah penambahan suntikan fiskal sebagai RM45 bilion untuk menangani wabak Covid-19.

Kerajaan telah bersetuju dan akan membentangkannya di Parlimen untuk diluluskan. Ia termasuklah dana tambahan kepada sistem kesihatan, bantuan kepada golongan rentan dan juga pernigaan.

Kerajaan juga setuju yang Majlis Pemulihan Nasional, kini dipengerusikan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, perlu merangkumi 50 peratus pakar sektor awam dan swasta.

Nama separuh daripada pakar tersebut akan dicalonkan oleh kerajaan dan separuh lagi oleh pembangkng.

Dana tambahan juga akan disediakan untuk meningkatkan usaha "find, test, trace, isolate, support and vaccinate".

Bantuan tunai RM10 bilion kepada 11 juta penerima yang disalurkan pada separuh kedua tahun ini akan diteruskan pada tahun depan - menyasarkan golongan B40 dan M40 yang kehilangan kerja.

Dana Kumpulan Wang Covid-19 juga akan digunakan untuk insentif pengambilan pekerja dan menyokong perusahaan kecil dan sederhana, termasuk sektor tak formal dan mikro.

Kerajaan juga akan mempercepatkan pemerolehan enam juta dos vaksin selewat-lewatnya bulan ini.

Kerajaan juga akan mengusahakan pengecualian faedah untuk kumpulan 50 peratus terbawah yang telah menerima moratorium pinjaman bagi Oktober, November dan Disember.

Bagaimanapun tiada jaminan terhadap perkara ini. Kerajaan perlu mengadakan rundingan dengan pihak bank.

Kesemua perkara dalam bahagian ini perlu dilaksanakan dalam tempoh penggal keempat Parlimen, iaitu tahun ini.

Sidang pertama penggal keempat akan berlangsung hari ini sehingga 12 Oktober, disusuli sidang kedua (25 Oktober-16 Disember).

Hanya ada dua sidang pada tahun ini (kebiasaannya tiga) dengan masa yang kian singkat susulan penggantungan parlimen ketika pengisytiharan darurat sebelum ini.

Lain-lain

Dua lagi bahagian adalah memastikan kebebasan institusi kehakiman dan Perjanjian Malaysia 1969. Namun ia tidak diperincikan dan masing-masing hanya dijelaskan secara umum.

Parti berpangkalan di Sabah, Upko hanya disertakan ketika peringkat akhir rundingan memandangkan permohonannya untuk menyertai PH belum dimuktamadkan.

Warisan juga mengkritik PH kerana tidak melibatkan mereka sejak dari awal. Parti itu berkata ia pasti membuat cadangan spesifik berkaitan Perjanjian Malaysia 1969.

Warisan juga menolak undangan PH untuk taklimat MoU, dengan menegaskan mereka patut dilibatkan sejak dari awal.

Seorang pemimpin PH yang terlibat dalam rundingan memberitahu Malaysiakini yang pihaknya meminta lebih banyak perincian dimasukkan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963, namun perunding bagi pihak kerajaan meminta agar ia ditulis secara ringkas.

Hal berkaitan institusi kehakiman juga lebih kepada jaminan berbanding sebarang perubahan konkrit.

Bagaimanapun ia tetap penting dengan mengambil kira yang PH bimbang pemimpin Umno akan telepas daripada ke rasuah memandangkan kerajaan kini diketuai naib presiden parti itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS