story images
story images
mk-logo
Berita
‘Bukan diculik tapi pesakit kritikal, tahap oksigen menurun’
Diterbitkan:  Sep 13, 2021 4:31 PM
Dikemaskini: 10:00 AM

Paparan video dan audio seorang pesakit Covid-19 yang mendakwa dia dipaksa mendapatkan rawatan sehingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) di George Town adalah kerana penurunan tahap oksigen dalam darah lelaki itu yang sangat membimbangkan.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKPP), Dr Ma'arof Sudin meskipun rawatan terapi oksigen dimulakan, namun pemeriksaan lanjut mendapati keadaan pesakit semakin kritikal sehingga kadar oksigen dalam darahnya hanya dapat distabilkan menggunakan mesin bantuan pernafasan atau ventilator.

"Pihak hospital juga menjelaskan berulang kali kepada ahli keluarga dan pesakit sendiri mengenai risiko yang boleh membahayakan kepada tubuh dan nyawa pesakit jika tidak membenarkan pihak hospital memberikan rawatan terbabit.

"Bagaimanapun, pesakit tidak bersetuju dengan rawatan disyorkan dan memohon dia dibenarkan pulang atas risiko sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Ma’arof juga memaklumkan lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Affendy Mohd Yusof, 44, mengalami penyakit Covid-19 tahap 4.

Sebelum ini, media sosial terutama Facebook kecoh dengan rakaman audio membabitkan Affendy yang mendakwa dirinya diculik dan dipaksa berada di ICU oleh kakitangan hospital berkenaan.

Menerusi rakaman audio yang tular sejak semalam itu, pesakit berkenaan mendakwa dirinya masih sihat namun dipaksa memakai alat bantuan pernafasan.

Malah Affendy juga mendakwa, dia yang dirawat di HPP sejak minggu lalu hanya datang untuk membuat saringan Covid-19 sebelum ‘diangkut’ untuk dirawat di dalam wad pesakit Covid-19.

"Namun, pihak hospital masih menempatkan pesakit di ICU untuk pemantauan walaupun pesakit enggan menerima rawatan terapi oksigen dan alat bantuan pernafasan memandangkan keadaannya masih kritikal serta berisiko menyebarkan Covid-19 kepada individu lain jika dibenarkan pulang," kata Dr Ma'arof.

Dia juga menafikan pesakit tidak diberi makanan ketika di ICU.

“Untuk makluman, pesakit di ICU telah diberi makanan berbentuk cecair seperti susu bagi memudahkan proses penghadaman dan mengelakkan komplikasi.

"Pihak hospital sentiasa prihatin dan akan meneruskan pemantauan terhadap pesakit terbabit dan sentiasa memberi maklum balas berkala kepada keluarga pesakit," katanya.

Dia berkata, orang awam dan pesakit yang mempunyai sebarang pertanyaan, aduan atau cadangan boleh memohon secara terus dengan pihak hospital yang berkenaan bagi penambahbaikan perkhidmatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS