Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
CJ keluarkan arahan baru berhubung prosiding reman
Diterbitkan:  Sep 13, 2021 2:37 PM
Dikemaskini: 7:50 AM

Ketua Hakim Negara mengeluarkan Arahan Amalan bagi mengemas kini tatacara prosiding permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengeluarkan Arahan Amalan bertarikh 10 September 2021 itu bagi memastikan Orang Yang Disyaki (OYDS) telah diberi peluang untuk menghubungi dan melantik peguam.

Katanya, bagi OYDS yang tidak diwakili peguam atau tidak berkeupayaan melantik peguam, majistret perlu memaklumkan mereka hak untuk mendapatkan khidmat guaman daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) sekiranya memenuhi syarat iaitu merupakan warganegara dan tidak disiasat di bawah mana-mana undang-undang pencegahan, penculikan dan melarikan orang.

Katanya, pengendalian prosiding reman juga perlu ditangguhkan ke tempoh masa yang munasabah dalam hari yang sama, bagi membolehkan peguam hadir mewakili OYDS.

"Bagaimanapun, pengendalian reman akan diteruskan sekiranya OYDS tidak mahu diwakili peguam atau enggan mendapatkan khidmat bantuan YBGK dan tiada peguam hadir dalam tempoh munasabah diberikan," katanya.

Arahan amalan itu berkuatkuasa pada 15 September ini.

Selain itu pegawai penyiasat polis juga perlu memaklumkan kepada majistret mengenai status permohonan reman (baru atau lanjutan), layanan ketika dalam tahanan polis dan keadaan kesihatan OYDS.

"Sekiranya majistret mendapati OYDS memerlukan rawatan, pegawai penyiasat hendaklah memastikan OYDS dibawa ke hospital bagi tujuan pemeriksaan dan rawatan sewajarnya.

Sehubungan dengan itu, Arahan Amalan Ketua Hakim Negara 2003 dan Perenggan 2A Pekeliling Ketua Pendaftar 2012 (Garis Panduan Reman dan Pengendalian Kes-kes Jenayah Selaras dengan penubuhan YBGK) adalah dibatalkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS