Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Upko tiada dalam senarai lantikan PH sebab penyertaan belum rasmi'

Ketiadaan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) dalam senarai lantikan baru Pakatan Harapan (PH) semalam adalah kerana penyertaan parti Sabah itu ke dalam gabungan berkenaan belum rasmi lagi, menurut Fahmi Fadzil.

Kata pengarah komunikasi PH itu Presiden Upko Wilfred Madius Tangau dijangka memuktamadkan soal dokumentasi berkenaan penyertaan parti terbabit hari ini.

“Kami masih belum lagi mendaftarkan Upko secara rasmi dengan PH kerana ia memerlukan banyak pengiraan (computations).

“Presiden Upko akan bertemu dengan kepemimpinan PH hari ini… untuk memuktamadkan segalanya dan menyerahkan dokumen,” katanya.

Kata Fahmi, Upko akan dilibatkan dalam pengumuman PH pada masa akan datang setelah ia berdaftar secara rasmi dengan gabungan itu.

Semalam, Majlis Presiden PH mengumumkan beberapa lantikan bagi mengukuhkan lagi gerak kerja PH di parlimen, di lapangan, serta menuju pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Antara lain, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dilantik sebagai ketua setiausaha PH.

Ketua PDAP Howard Lee pula menerajui sayap pemuda gabungan berkenaan, manakala Ketua Wanita Amanah Aiman Athirah memimpin sayap wanita.

Lantikan lain ialah Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub kini menjadi pengarah strategi PH dan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke dilantik menjadi penyelaras ketua whip ahli parlimen.

Petang ini, pemimpin pembangkang dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan memeterai memorandum persefahaman (MOU) untuk mewujudkan kestabilan kerajaan.

Majlis itu akan berlangsung di bangunan parlimen.

Presiden Upko akan turut terlibat bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam menandatangani perjanjian itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS