Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Padah laporan palsu kejadian tembak mati, lelaki ditahan polis

Gara-gara membuat laporan palsu berhubung kejadian pembunuhan, seorang pemuda ditahan polis di Kampung Kolam Abu, Machang, Kelantan, semalam.

Ketua Polis Kelantan, CP Shafien Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan daripada seorang lelaki yang tidak dikenali kira-kira jam 11.21 malam.

"Panggilan itu memaklumkan berlakunya kejadian tembak dan bunuh di Kampung Kolam Abu, Machang.

"Menurut pemanggil terbabit, mangsa daripada kejadian tersebut telah mati dan suspek telah melarikan diri," katanya pada sidang media acara serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Kelantan di IPK Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Menurut Shafien, pihak polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Machang telah bergegas ke tempat kejadian sekitar jam 12.30 pagi setelah menerima maklumat IPK Kelantan.

"Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian, pihak kami tidak menemui apa-apa tanda kejadian dan kami berjaya menahan seorang lelaki berumur 31 tahun untuk siasatan lanjut.

"Siasatan susulan telah mendapati, maklumat yang diterima dari lelaki terbabit adalah palsu dan kes disiasat di bawah seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu," katanya.

Tambahnya, ujian air kencing telah dijalankan ke atas suspek dan mendapati suspek positif dadah jenis methaphetamine serta mempunyai lima kes jenayah lampau.

"Suspek telah ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan," jelasnya


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS