Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tolak pencalonan Azalina sebagai speaker salah laku serius - MP Beruas
Diterbitkan:  Sep 12, 2021 4:33 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham dari DAP mendakwa bahawa Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon telah melakukan "salah laku serius" ketika dia dikatakan menolak pencalonan Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said untuk menjadi speaker.

Sebelum ini dilaporkan bahawa sumber mendakwa usul Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk mencalonkan Azalina sebagai speaker Dewan Rakyat yang baru telah diketepikan oleh Rashid, tanpa alasan yang dinyatakan.

"Peranan speaker dan timbalan speaker adalah untuk mempengerusikan dan memastikan kelancaran sidang parlimen. Mereka memegang jawatan masing-masing melalui pemilihan oleh ahli parlimen.

"Sekiranya Ahli Parlimen mencadangkan atau memutuskan penukaran speaker atau timbalan speaker, speaker dan timbalan speaker tidak mempunyai kuasa untuk menolak sebarang perubahan yang dicadangkan," kata Ngeh dalam satu kenyataan hari ini.

Ngeh turut mendesak Zahid untuk mengemukakan usul di bawah Aturan Mesyuarat 43.

Rashid sebelum ini menolak usul Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil untuk menyingkirkan Azhar Azizan Harun sebagai speaker Dewan Rakyat.

"Ini adalah penghinaan terhadap institusi demokrasi tertinggi di negara kita," kata Ngeh.

Memandangkan sekarang ada dua calon untuk jawatan speaker - iaitu Azhar dan Azalina - serta jawatan timbalan speaker - iaitu Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming, Ngeh mengatakan pemilihan mesti dilakukan.

"Mana-mana kanak-kanak sekolah akan dapat memberitahu kita bahawa sekiranya speakerdan timbalan speaker tidak dapat memahami peraturan dasar demokrasi ini, mereka harus segera meletakkan jawatan,” kata Ngeh.

Dia menggesa speaker dan timbalan speaker untuk mengambil tindakan terhormat dengan berundur diri.

“Kita harus meneruskan tradisi sihat ini dengan bertindak terhormat.

"Oleh sebab itulah, saya mengundurkan diri sebagai speaker dewan undangan negeri Perak pada 12 Mei 2020 ketika beberapa wakil rakyat dari Pakatan Harapan beralih sokongan dan sebab itu juga Nga mengundurkan diri pada 13 Julai 2020 sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat ketika beberapa ahli parlimen Pakatan Harapan juga menukar sokongan,” kata Ngeh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS