Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gerakan: Zairil mahu jadi musuh rakyat P Pinang?
Diterbitkan:  Sep 12, 2021 11:49 AM
Dikemaskini: 3:49 AM

Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong telah membidas Exco Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Zairil Khir Johari kerana mempertimbangkan untuk kemuka semakan kehakiman selepas nelayan tempatan negeri iti menang dalam rayuan membatalkan kelulusan penilaian kesan alam sekitar (EIA) terhadap projek Pulau Pinang Selatan (PSI).

"Adakah dia mahu jadi musuh kepada rakyat Pulau Pinang? Kerana kebanyakan penduduk di Pulau Pinang telah menyuarakan bantahan terang-terangan mereka terhadap projek itu?" kata Oh dalam satu kenyataan.

Dia berkata DAP telah lupa bagaimana mereka mendapat sokongan dari rakyat Pulau Pinang.

"Sekarang mereka pilih untuk menentang rakyat demi kepentingan mereka sendiri dan mengecewakan rakyat Pulau Pinang.

"Memandangkan lembaga rayuan telah mengumumkan pembatalan EIA PSI, kerajaan negeri perlu meneliti semua kesilapan mereka dan bukannya mengambil tindakan undang-undang," kata Oh.

Pulau Pinang telah dipimpin oleh kerajaan Pakatan Harapan di bawah pentadbiran DAP selepas ia berjaya mengalahkan Gerakan pada 2008

Oh mengulas terhadap kenyataan Zairil bahawa kerajaan Pulau Pinang kemungkinan memohon semakan kehakiman selepas kelulusan terhadap projek Pulau Pinang (PSI) ditolak.

Zairil sebelum ini turut berkata, pihak kerajaan negeri juga kemungkinan akan menyerahkan laporan EIA yang dikemas kini untuk projek tersebut.

Ia susulan lembaga rayuan Jabatan Alam Sekitar membatalkan kelulusan EIA bagi projek itu yang dikeluarkan pada 25 Jun 2019.

Rayuan untuk pembatalan itu dikemukakan oleh pemimpin komuniti nelayan tempatan, Zakaria Ismail.

Menurut lembaga rayuan itu, kelulusan tersebut dibuat berdasarkan Rancangan Struktur Pulau Pinang 2030 sebelum rancangan itu diwartakan pada 24 Oktober 2019.

Oh menekankan bahawa Zakaria mengemukakan rayuan terhadap laporan EIA tersebut dengan mewakili 185 nelayan yang lain.

"Adakah Zairil ingin (bawa kes ini) ke mahkamah dengan 185 nelayan ini?

"Ini adalah perangai kerajaan PH yang tidak mendengar suara rakyat.

"Kerajaan negeri Pulau Pinang memilih untuk tutup telinga dan bertegas untuk menambak laut," katanya.

PSI adalah projek kerajaan negeri yang melibatkan penambakan semula tiga pulau untuk membina zon industri, tarikan pelancongan, pusat pendidikan dan projek perumahan, termasuk perumahan mampu milik.

Pulau-pulau buatan itu seluas 1,821 hektar, atau kira-kira seluar 2,550 padang bola.

Kerajaan negeri telah berjanji bahawa projek itu akan dikembangkan secara lestari, dengan kemampuannya untuk menciptakan pekerjaan dan memacu ekonomi.

Projek PSI bertujuan untuk membiayai projek infrastruktur berbilion ringgit yang diperincikan dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.

Namun, mereka yang menentang projek tersebut berpendapat bahawa ia akan menjejaskan mata pencarian nelayan tempatan dan ekosistem biologi laut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS