Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: Steven Sim dilantik penyelaras antara P Pinang dan k'jaan pusat
Diterbitkan:  Sep 11, 2021 6:32 PM
Dikemaskini: 10:32 AM

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim dilantik sebagai penyelaras pengurusan Covid-19 antara kerajaan Pulau Pinang dan kerajaan pusat.

Pengumuman itu dibuat semasa sidang media bersama antara Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow hari ini.

"Kami tidak mempunyai masalah dengan kerajaan negeri di sini. Saya selalu berkomunikasi dengan ketua menteri melalui WhatsApp.

"Tetapi setelah berbincang dengan Ketua Menteri dan Lim (Guan Eng), kami memutuskan bahawa kami perlu seorang penyelaras, seorang Ahli Parlimen persekutuan yang sentiasa dapat berhubung dengan saya, seperti yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming di Selangor dalam Operasi Lonjakan Kapasiti,” kata Khairy seperti dipetik Malay Mail.

Pulau Pinang mengalami peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Menurut data Kementerian Kesihatan, penggunaan katil Covid-19 di negeri ini kini adalah sebanyak 107 peratus.

Bernama memetik Khairy sebagai berkata kapasiti katil untuk pesakit Covid-19 di hospital swasta di negeri itu adalah 87 peratus manakala penggunaan ICU adalah 117 peratus.

Khairy berkata dia telah mendapat persetujuan hospital-hospital swasta yang akan menambah 300 katil, namun pihaknya meminta tambahan sebanyak 1,000 katil untuk pesakit Covid-19.

Sementara itu, Sim menggariskan enam fokus utama setelah dilantik sebagai penyelaras pengurusan Covid-19 antara kerajaan negeri dan persekutuan

Fokus berkenaan ialah menambahkan kapasiti sistem penjagaan kesihatan; mengurangkan masa respons bagi perkhidmatan kesihatan untuk pesakit seperti talian hotline; dan penilaian risiko dan penguatkuasaan lebih cekap terutamanya ke atas kilang-kilang.

Selain itu dia juga akan memberi tumpuan untuk memastikan kestabilan bekalan vaksin, mengurangkan kadar jangkitan dan kematian serta memastikan laporan harian Covid-19 di Pulau Pinang lebih telus.

Sebelum ini, Khairy melantik Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming sebagai penyelaras di Selangor untuk Operasi Lonjakan Kapasiti dalam usaha meningkatkan vaksinasi di negeri berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS