mk-logo
Berita
Shabuddin digugur timbalan menteri, kini pengerusi baru Amanah Ikhtiar M'sia
Diterbitkan:  Sep 11, 2021 1:36 PM
Dikemaskini: 5:48 AM

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya dari parti Bersatu yang digugurkan daripada jawatan timbalan menteri, telah dilantik sebagai pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang baru.

Shabudin dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Lajim Ukim yang meninggal dunia akibat Covid-19 pada 29 Ogos lalu.

AIM ialah badan amanah persendirian yang ditubuhkan pada 17 September 1987 dan didaftarkan bawah Akta Amanah (Pemerbadanan) 1952 (pindaan 1981).

AIM berkata, pihaknya yakin Shabudin dapat menerajui badan amanah persendirian itu ke tahap yang lebih baik dan cemerlang.

"Di atas kepimpinan dan pengalaman yang dimiliki ini, beliau diyakini dapat menerujui AIM yang kini memiliki seramai 356,024 Sahabat kepada satu tahap yang lebih baik dan cemerlang," kata AIM pada satu kenyataan yang mengesahkan pelantikannya hari ini.

"Sahabat" adalah istilah yang digunakan oleh AIM untuk merujuk kepada usahawan mikro bawah program pembiayaannya.

Shabudin sebelum ini merupakan pemimpin Umno, bagaimanapun menyertai Bersatu pada tahun 2019.

Dia juga sebelum ini pernah dilantik sebagai pengerusi Felcra Berhad pada Mei tahun lalu.

Pada bulan Julai tahun lalu, dia dilantik sebagai Timbalan Menteri Undang-undang Di Jabatan Perdana Menteri bawah pentadbiran PN pimpinan Muhyiddin Yassin.

Sebaik sahaja kerajaan diambil alih oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob selepas kejatuhan pentadbiran Muhyiddin yang bertahan 17 bulan, ahli parlimen Bera itu mengekalkan sebahagian besar menteri dan timbalan menteri sebelumnya.

Namun, Shabudin tidak berada dalam senarai kabinet Ismail Sabri.

AIM mengucapkan tahniah kepada Shabudin atas pelantikannya.

"Semoga pelantikan ini dapat meningkatkan lagi peranan dan fungsi AIM dalam usaha membantu kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan seterusnya dapat meningkatkan taraf ekonomi isi rumah golongan yang berpendapatan rendah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS