Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rusuhan di pusat tahanan imigresen Kota Kinabalu berjaya dikawal

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengawal rusuhan membabitkan 400 tahanan warganegara Filipina di Depoh Tahanan Imigresen (DTI), di Kota Kinabalu, awal pagi ini.

Timbalan Pengarah JIM Sabah (Operasi) Masri Adul berkata dalam kejadian pada 6.30 pagi itu, kumpulan tahanan tersebut dipercayai tidak berpuas hati kerana proses penghantaran pulang ke negara asal mereka tertangguh.

Dia berkata siasatan awal mendapati insiden bermula dari blok tahanan wanita yang penghuninya mendakwa terlalu tertekan dan meminta supaya segera dihantar pulang ke negara asal.

"Ia didengari penghuni blok tahanan lelaki yang terletak berhadapan blok wanita sehingga mencetuskan rusuhan kecil. Penghuni blok lelaki kemudiannya bertindak merosakkan kunci mangga pintu lokap dan terus keluar ke kawasan lokap," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Namun penghuni berkenaan tidak berjaya keluar dari kawasan lokap dan pihak DTI yang menyedari kejadian itu terus menghubungi polis dan Ibu Pejabat Imigresen negeri bagi mendapatkan bantuan.

Masri berkata 70 anggota polis bersama pegawai serta 40 anggota bahagian penguatkuasaan JIM dikerah ke lokasi kejadian bagi mengawal keadaan.

Dia berkata rundingan bersama tahanan diadakan hampir sejam bagi menjelaskan punca proses penghantaran ditangguhkan iaitu atas permintaan pihak kedutaan Filipina sendiri disebabkan beberapa perkara termasuk berkaitan penularan pandemik Covid-19.

"Pasukan polis menempatkan 30 anggota di DTI untuk tempoh beberapa hari lagi bagi memantau keadaan dan tiada kerosakan teruk berlaku dalam insiden ini," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS