Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kumpulan media gesa kebebasan buat liputan sidang Parlimen
Diterbitkan:  Sep 9, 2021 11:08 PM
Dikemaskini: 3:08 PM

Beberapa kumpulan media hari ini menggesa Parlimen agar tidak mengehadkan liputan sidang Dewan Rakyat, selepas hanya 16 agensi media dibenarkan berbuat demikian pada sidang yang akan bermula minggu depan.

Dalam satu kenyataan bersama, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) berkata mereka kecewa dengan langkah itu, dan menyifatkannya sebagai menjejaskan kebebasan media.

"Hampir dua tahun sejak bermulanya wabak Covid-19, isu akses tidak sama untuk liputan media masih tidak selesai.

"Organisasi media patut diberi kebebasan untuk membuat liputan sidang Parlimen apabila ia bersambung pada 13 September hingga 12 Oktober ini," kata mereka.

Mereka berkata sebarang langkah untuk menyekat liputan oleh organisasi media akan menjejaskan kebebasan media, apatah lagi di saat kepimpinan negara bercakap tentang reformasi institusi dan tadbir urus yang baik.

"Hanya 16 organisasi yang dibenarkan hadir dan membuat liputan, menurut kenyataan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Harun.

"Ini sama seperti apa yang berlaku ketika sidang yang lalu pada Oktober 2020, dengan hanya sedikit perubahan melibatkan senarai media yang dibenarkan," kata mereka.

Semalam, Azhar menyenaraikan 16 organisasi media yang dibenarkan membuat liputan pada sidang akan datang.

Selain agensi media kerajaan, pihak lain yang dibenarkan termasuk Malaysiakini, TV3, Astro Awani, Berita Harian, Sinar Harian, The Star, The Sun, Sin Chew Daily, Nanyang Siang Pau, Malaysia Nanban, AFP dan MalaysiaNow.

CIJ, Geramm, dan NUJM juga menggesa Azhar menjelaskan bagaimana pemilihan itu dibuat.

Jika ada keperluan untuk mengehadkan bilangan wartawan di Parlimen, kata mereka, ia parut dibincangkan dan diputuskan sendiri di kalangan organisasi media.

"Kami menggesa sekatan ini ditarik balik segera bagi melindungi hak media dan mewujudkan persekitaran yang selamat bagi media menjalankan peranan mereka tanpa campur tangan dan sekatan yang bersifat diskriminasi," kata mereka.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS