Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KKM teliti langkah tambahan bendung peningkatan kes di Sarawak

Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti punca peningkatan kes Covid-19 dan bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital di Sarawak, walaupun dengan kadar vaksinasi yang tinggi di negeri itu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya setakat ini belum pasti akan puncanya dan telah meminta analisis yang lebih terperinci.

Antara kemungkinan yang sedang diambil kira adalah tahap keberkesanan vaksin yang berkurang setelah suatu sela masa.

Katanya, Sarawak sedang meningkatkan kadar liputan vaksinasi dengan mula memberikannya kepada golongan remaja bermula semalam.

Selain itu, katanya lagi, jawatankuas teknikal berkenaan pemilihan vaksin telah diminta untuk memberikan syor berkenaan dos ketiga pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) pada minggu depan.

Selepas mesyuarat itu, katanya, dia akan ke Sarawak untuk membincangkan langkah tambahan dengan kerajaan negeri bagi membendung penularan.

"Tapi tentunya dari segi melakukan ujian, mengesan dan mengasingkan, ia amat penting di Sarawak sekarang kerana apa yang berlaku mungkin boleh berlaku di negeri lain dalam masa beberapa bulan akan datang, jika ia kerana kesan vaksin yang berkurang.

"Jadi kita perlu lihat apa langkah segera yang boleh dilakukan untuk menghentikan peningkatan jangkitan di Sarawak, dan gunakannya sebagai kaedah untuk negeri lain yang mungkin berdepan situasi sama," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Pada masa ini, sebanyak 63.7 peratus populasi dewasa di Sarawak telah divaksin - kadar ketiga tertinggi selepas Lembah Klang (72 peratus) dan Labuan (65.8 peratus).

Bagaimanapun, jumlah kes dan pesakit yang dimasukkan ke hospital di sana meningkat sejak pertengahan bulan lalu. Pada masa sama, kes kematian akibat wabak Covid-19 di sana kekal sebanyak satu angka dan kebanyakannya melibatkan mereka yang belum divaksin.

Setakat semalam, sebanyak 88 peratus (1,022) daripada katil yang diperuntukkan untuk pesakit Covid-19 dan 76 peratus (120) katil di ICU. Kedua-duanya menunjukkan trend peningkatan sejak Ogos.

Sebagai perbandingan, purata seluruh negara adalah 77 peratus penggunaan katil di wad dan 82 peratus katil ICU.

Sebelum ini, beberapa negara dengan kadar vaksinasi yang tinggi, seperti Israel, menunjukkan peningkatan kes Covid-19.

Masih kurang jelas sama ada ia disebabkan imuniti yang berkurang, pembukaan semula ekonomi, jangkitan varian Delta atau kombinasi beberapa faktor ini.

Walaupun tahap antibodi akan menurun setelah enam bulan atau lebih, ia tidak semestinya bermakna pengurangan perlindungan vaksin terutama terhadap kes serius.

Ini disebabkan kewujudan respons imun lain - yang dicetuskan vaksin - yang tahan lebih lama berbanding antibodi hanya mula bertindak ketika fasa jangkitan yang terkemudian.

Sementara itu, Khairy berkata faktor-faktor yang mungkin menjadi punca peningkatan di negara lain mungkin turut sama berlaku di Sarawak.

Negara-negara tersebut telah mula memberikan dos tambahan terutama kepada warga tua dan pekerja kesihatan.

Khairy berkata Malaysia tidak menolak kemungkinan untuk turut mengambil langkah itu.

"Tetapi sekali lagi, saya telah minta analisis yang lebih terperinci berkenaan ini. Kita akan dapat umumkan sesuatu apabila saya ke Sarawak," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS