Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar percaya SPR mampu laksana Undi18 jika dapat 'arahan jelas'
Diterbitkan:  Sep 9, 2021 3:25 PM
Dikemaskini: 7:25 AM

Meskipun dilihat mengkritik keras Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga pernah mencadangkan kepemimpinannya ditukar berhubung pelaksanaan Undi18, PRK percaya, badan itu tidak akan berdepan masalah melaksanakan pembaharuan berkenaan jika mendapat “arahan yang jelas”.

Presidennya Anwar Ibrahim berkata selama ini kerajaan cuba berdolak-dalih dengan beri alasan teknikal, kekangan undang-undang dan sebagainya untuk melaksanakan Undi18.

“Apabila saya jumpa perdana menteri sebelum ini, saya tekankan perkara ini (Undi18) perlu dijalankan dan amanah ini iaitu memastikan Undi18 mesti diluluskan sebelum PRU akan datang.

“[...] Itu hanya pendaftaran teknikal saja dan saya beri kenyataan beberapa bulan lalu, kalau SPR tak sanggup (melaksanakannya), tukarlah kepemimpinan SPR.

“Tapi saya percaya kalau SPR dapat arahan yang jelas, mereka mampu menjalankannya,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika mengulangi gesaan agar pelaksanaan Undi18 dilaksanakan segera susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang memerintahkan kerajaan menurunkan usia mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun menjelang 31 Disember

Terdahulu Anwar mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun di kediaman rasmi menteri besar Negeri Sembilan sebentar tadi.

Anwar diminta mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 Sept lalu susulan semakan kehakiman oleh lima anak muda yang dinamakan kumpulan Undi Sarawak. 

Untuk rekod, kelmarin Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kerajaan akan akur dengan keputusan berkenaan memandangkan belum ada arahan untuk membuat rayuan terhadapnya. 

Usia pengundian baru diluluskan sebulan suara oleh Parlimen pada 2019 ketika Pakatan Harapan (PH) masih menjadi kerajaan. Bagaimanapun selepas PH dijatuhkan melalui Langkah Sheraton, timbul tanda tanya mengenai pelaksanaan pembaharuan berkenaan.

Malah salah satu parti kerajaan, PAS, menunjukkan sikap tidak bersetuju dengan pembaharuan tersebut di sebalik sokongan ahli parlimen mereka semasa rang undang-undang itu dibentang dan diluluskan sebelum itu.

Pada 25 Mac, SPR mengumumkan pelaksanaan Undi18 - termasuk pendaftaran pengundi automatik - ditangguhkan hingga 1 Sept tahun depan.

Keputusan itu bermaksud warganegara yang berusia 18 hingga 20 tahun kemungkinan tidak akan dapat mengundi pada PRU akan datang.

Ia menerima kritikan daripada pelbagai pihak, terutamanya pembangkang, selain NGO atau gerakan yang mengajukan semakan kehakiman berhubung perkara itu.

Anwar pada April lalu pernah membidas SPR kerana dikatakan tidak dapat memberikan jawapan memuaskan berhubung pelaksanaan Undi18 sehingga menggesa agar pengerusinya ditukar. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS