Setelah isu keyakinan terhadap Aminuddin Harun kembali timbul beberapa hari lalu, Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini berkata konsensus dicapai berhubung kedudukan pengerusi majlis pimpinan negeri (MPN) Negeri Sembilan itu yang menurutnya masih lagi padu.
Kata Anwar, kedudukan Aminuddin bukanlah isu berbangkit, sebaliknya adalah gesaan agar menteri besar terbabit memberikan perhatian kepada keperluan parti “mengukuhkan jentera” sebagai menghadapi pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi.
Kata Anwar, setelah menerima pelbagai pandangan, dia meminta supaya Aminuddin terus kekal sebagai pengerusi MPN PKR Negeri Sembilan.
“Yang dibangkitkan ialah isu supaya menteri besar beri sedikit perhatian kepada keperluan parti dan cabang-cabang untuk mengukuhkan jentera pada PRU ke-15 di Negeri Sembilan.
“Jadi apabila kami beri ruang mereka berbincang dan memberi penjelasan, kami teruskan dengan padu bersama dengan exco dan timbalan speaker dalam jentera parti, terutamanya biro politik Negeri Sembilan, supaya memudahkan Aminuddin bertindak sebagai menteri besar dan pengerusi MPN.
“[...] Oleh itu, mengambil kira pandangan sebahagian ahli exco dan pemimpin parti - bahawa tumpuan terhadap jentera parti juga adalah penting dan wajar diberikan perhatian - saya rasa kami semua mencapai persetujuan (konsensus) berkenaan perkara itu,” katanya.
Dia berkata demikian dalam sidang media bersama Aminuddin selepas pertemuan MPN PKR Negeri Sembilan di kediaman rasmi menteri besar Negeri Sembilan tadi.
Disoal mengenai keputusan dicapai dalam pertemuan itu, Anwar hanya menjawab perbincangan dibuat adalah berkaitan program parti, program kebajikan, masalah Covid-19, kegiatan ekonomi, serta jentera parti bagi menghadapi PRU ke-15.
Aminuddin berdepan isu keyakinan kepimpinan apabila empat Adun dan 11 pemimpin PKR negeri menyatakan hilang kepercayaan terhadapnya.
Pertemuan hari ini turut melibatkan empat Adun terbabit, iaitu Ismail Ahmad (Labu), M Ravi (Sri Tanjung), Mohamad Rafie Ab Malek (Ampangan) dan Michael Yek (Chuah).
Kata Anwar, pergolakan itu telah dapat diselesaikan.
“Mereka komited untuk bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan tetapi ada keputusan dan pengubahsuaian (adjustment) dalam aspek kepemimpinan biro politik dan keahlian.
“Perkara ini telah diputuskan dan kebimbangan sesetengah pemimpin cabang telah dipertimbangkan,” katanya lagi.
Semalam, Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan, Yusof Tapar, dipecat tetapi tidak dapat dipastikan apakah ada perubahan lain yang dibuat.
Pergolakan dalaman PKR Negeri Sembilan sebelum ini turut dilihat mengancam kestabilan kerajaan negeri berkenaan.
Untuk rekod 26 daripada 36 Adun dalam DUN Negeri Sembilan adalah dari Pakatan Harapan. Ia terdiri daripada 11 Adun DAP, enam Adun PKR dan tiga Adun Amanah.