Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
e-sukan: Lapan permainan disenaraikan untuk Sukan Asia Hangzhou 2022

Lapan permainan sukan elektronik (e-sukan) akan membuat penampilan sulung sebagai sukan yang ditawarkan pingat secara rasmi pada Sukan Asia Hangzhou yang akan berlangsung pada 10 hingga 25 Sept 2022, demikian menurut Persekutuan Sukan Elektronik Asia (AESF).

Senarai permainan itu ialah Arena of Valor (versi Sukan Asia), Dota 2, Dream Three Kingdoms 2, FIFA (oleh EA Sports), Hearthstone, League of Legends, PUBG Mobile (versi Sukan Asia) dan Street Fighter V.

AESF turut mengumumkan bahawa dua lagi gelaran - AESF Robot Masters dan AESF VR Sports - kedua-duanya dikuasakan oleh Migu, akan ditampilkan sebagai sukan demonstrasi.

Persekutuan itu dalam kenyataan memaklumkan permainan e-sukan berkenaan dipilih berdasarkan kriteria pemilihan yang mematuhi syarat, termasuk Nilai Olimpik yang ditetapkan oleh AESF dan Majlis Olimpik Asia (OCA).

Presiden AESF Kenneth Fok berkata pihaknya akan melancarkan kejohanan kelayakan dan peringkat akhir tidak lama lagi.

“Berita ini bukan hanya penting dalam menyumbang ke arah persiapan akhir untuk temasya itu, ia juga memainkan peranan besar dalam memastikan AESF mewujudkan dan memperkenalkan sistem dengan gelaran acara e-sukan dipilih untuk acara Olimpik berdasarkan kriteria dan syarat tertentu untuk dipatuhi dengan Nilai Olimpik,” katanya dalam kenyataan sama.

Sementara itu, Ketua Pengarah OCA Husain Al-Musallam berharap dapat terus bekerjasama dengan AESF dan Jawatankuasa Penganjur Hangzhou bagi memastikan kejayaan pelaksanaan acara e-sukan itu pada Sukan Asia 2022.

“Kami berharap pengumuman ini akan memberi peluang kepada semua pasukan yang mengambil bahagian untuk membuat persiapan dan melengkapkan diri mereka menjelang peringkat kelayakan. Saya percaya kami telah membuat semua persiapan dalam memastikan tahap persaingan tinggi yang menjanjikan tontonan terbaik buat peminat e-sukan,” katanya.

Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, enam permainan - Arena of Valor, Clash Royale, Hearthstone, League of Legends, Pro Evolution Soccer dan StarCraft II - diadakan sebagai sukan demonstrasi (pingat tidak dikira secara rasmi).

E-sukan buat pertama kali dipertandingkan sebagai acara yang ditawarkan pingat pada Sukan SEA Filipina 2019 yang menampilkan enam pingat emas. Malaysia memenangi emas dalam acara Hearthstone menerusi penolong profesor Dr Yew Weng Kean.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS