Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Undi percaya: Speaker ikut jejak abang, kata Guan Eng
Diterbitkan:  Sep 8, 2021 4:43 PM
Dikemaskini: 8:43 AM

Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun digesa menjelaskan mengapa usul berkaitan undi percaya dan pemilihan Speaker baru tiada dalam aturan urusan parlimen.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Yang di-Pertuan Agong, ketika menerima menghadap semua ketua parti politik di Istana Negara pada 17 Ogos lalu telah bertitah bahawa usul undi percaya di parlimen mesti diadakan setelah perdana menteri yang baru dilantik.

Lim berkata majlis menghadap baginda itu turut dihadiri oleh Azhar sendiri dan Peguam Negara, yang juga abangnya, Idrus Harun.

"Malangnya, peguam negara telah memilih untuk secara terang-terangan derhaka dan melanggar titah Agong dengan menyatakan secara terbuka dalam kenyataan awam yang dikeluarkan sendiri bahawa tidak perlu undi percaya kerana ia akan menidakkan kuasa Agong untuk melantik perdana menteri.

"Azhar juga memilih untuk mengikuti jejak abangnya bukan dengan kata-kata tetapi melalui tindakan secara tidak langsung dengan tidak menasihati kerajaan baru untuk mengemukakan usul undi percaya yang dia dengar sendiri daripada titah Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam kenyataan.

Menurut Lim, adalah jelas peguam negara telah menunjukkan dirinya sebagai 'alat politik' yang tidak layak dan hilang kelayakan untuk memegang jawatan yang disandangnya ketika ini.

Berhubung pemilihan speaker baru, Lim berkata Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi telah mengemukakan usul untuk memilih Azalina Othman sebagai speaker Dewan Rakyat yang baru.

Sehubungan dengan itu, dia mendesak Azhar menjelaskan mengapa perkara itu tidak dibahaskan di Dewan Rakyat.

Ketika dihubungi untuk mendapat maklumat lanjut, Lim berkata, dia telah dimaklumkan mengenai usul yang dibentangkan Zahid. Pejabat Zahid bagaimanapun tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.

Azhar sebelum ini mengakui menerima pemberitahuan usul-usul untuk mengosongkan jawatannya sebagai speaker Dewan Rakyat. Bagaimanapun usul berkenaan tiada dalam Aturan Urusan Mesyuarat.

Sebilangan ahli parlimen mendakwa usul mereka diketepikan tanpa sebab munasabah.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan agar undi percaya tidak dilaksanakan terhadap Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob di parlimen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS