Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP Tawau harap tiada lagi alasan ‘tiada ambulans’
Diterbitkan:  Sep 8, 2021 10:37 AM
Dikemaskini: 2:37 AM

Ahli Parlimen Tawau Christina Liew berharap rakyat Sabah tidak lagi dibelenggu isu ambulans yang tidak mencukupi, berikutan janji Kementerian Kesihatan untuk menambah 29 ambulans di seluruh negara.

Liew juga menyambut baik laporan bahawa Kemeterian Kesihatan (KKM) akan menambah katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang boleh meningkatkan kapasiti sebanyak 10 pesakit di Hospital Daerah Tawau.

"Tanggapan seperti 'sori, tiada ambulan' dan 'tunggulah' tidak akan dibangkitkan apabila orang ramai menghubungi 999 (nombor kecemasan) untuk mendapatkan bantuan.

"Semoga semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Isnin lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengunjungi Sabah - salah satu negeri yang sedang berdepan dengan situasi Covid-19 yang kritikal.

Setelah bersama mempengerusikan pertemuan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) peringkat negeri dengan Ketua Menteri Hajiji Noor, Khairy berkata kerajaan persekutuan komited untuk menghantar 2.89 juta dos vaksin Covid-19 ke Sabah pada bulan ini.

Dia juga mengumumkan kementeriannya telah menghantar 480 silinder oksigen, 24 regulator oksigen dan lima stok ubat-ubatan Covid-19 semalam.

Khairy juga melawat beberapa hospital seperti Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH) dan Hospital Daerah Tawau - malah turut memaklumkan yang KKM sedang mempertimbangkan untuk membina sebuah hospital lapangan untuk pandemik dan pasca-wabak untuk menampung keperluan kesihatan Tawau.

Liew, yang juga Adun Api-Api berkata, dia berharap keadaan kritikal di QEH akan bertambah baik atas jaminan yang diberikan oleh menteri kesihatan bahawa kementerian komited untuk meningkatkan kemudahan perubatan, aset dan tenaga kerja untuk memerangi wabak tersebut.

Dia merujuk kepada laporan bahawa pesakit Covid-19 berusia 60 tahun ke atas, pendatang asing dan pesakit dengan pelbagai komorbiditi, yang tidak mempunyai rawatan tidak akan dipertimbangkan untuk dimasukkan ke ICU di hospital.

Liew berkata ada laporan yang turut mendakwa terdapat hospital yang telah memulakan dasar baru terhadap pesakit, iaitu larangan resusitasi (DNR) ke wad biasa.

"Saya tidak menyalahkan barisan hadapan perubatan kerana menyuarakan kebimbangan mereka. Pandemik yang berpanjangan ini telah meningkatkan kapasiti penjagaan kesihatan hospital secara maksimum.

"Bagaimanapun, kenyataan seperti itu tidak hanya menyedihkan tetapi juga membuat orang ramai marah (seperti yang dinyatakan di dalam media sosial). Saya meminta Pengarah Kesihatan Negeri untuk menjelaskan sama ada terdapat dasar semikian yang tidak berperikemanusiaan itu.

"Kita perlu lakukan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat," kata Liew.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS