Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan hari ini hanya sementara - Zahid
Diterbitkan:  Sep 8, 2021 10:27 AM
Dikemaskini: 2:53 AM

Kerajaan yang ada hari ini hanya bersifat sementara sehingga mandat mutlak diperoleh daripada rakyat pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya perkara itu antara dua mandat besar akar umbi yang diamanahkan kepadanya dan kepimpinan parti melalui ketetapan Perhimpunan Agung Umno dan Majlis Kerja Tertinggi Umno (MKT) sebelum ini.

"Pertamanya, kerajaan hari ini hanyalah bersifat sementara selagi mana tidak memiliki mandat mutlak rakyat. 

"Justeru sebagaimana diputuskan dalam MKT lepas dan berpedomankan Titah saranan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, apabila pandemik Covid-19 mulai berakhir dan setelah imuniti kelompok (herd immunity) dicapai, maka Pilihan Raya Umum Ke-15 perlulah diadakan bagi membolehkan mandat mutlak diperolehi untuk membentuk sebuah Kerajaan yang stabil dan dipilih oleh rakyat.

"Keduanya, kehendak akar umbi yang menghendaki agar kerusi-kerusi tradisi Umno dan kerusi-kerusi yang dikhianati setelah diamanahkan oleh rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional pada PRU-14 lalu tidak boleh sesekali dikompromikan dan mesti diambil kembali untuk ditandingi.

"Ini termasuklah ketetapan PAU yang membataskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya setelah parlimen dibubarkan untuk PRU-15 yang akan datang," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Ahmad Zahid mengulas perkembangan politik terbaru kira-kira dua minggu selepas pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri bagi menggantikan Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin sebelum ini meletakkan jawatan selepas ahli-ahli parlimen Umno yang diketuai Ahmad Zahid menarik balik sokongan terhadapnya dan kerajaan PN.

Selepas Ismail dilantik sebagai perdana menteri ke sembilan, kabinet memutuskan pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Bagaimanapun pelantikan itu dipertikaikan banyak pihak termasuk daripada Umno sendiri.

'Tak ulangi kesilapan kerajaan lalu'

Kata Ahmad Zahid, dia menerima banyak pertanyaan mengenai apakah pendirian Umno dalam pembentukan jemaah menteri dan pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi MPN bertaraf menteri.

Jelasnya, Umno menyerahkan kepada kebijaksanaan Ismail Sabri untuk membuat keputusan yang dirasakan sesuai.

"Parti telah membuat pendirian menyokong perlantikan YAB Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri. 

"Ini bermakna, parti menyerahkan kebijaksanaan kepada beliau sebagai perdana menteri dalam membuat keputusan atau kebijakan-kebijakan yang beliau rasakan sesuai dalam mengemudi pentadbiran negara," katanya.

Pun begitu, dia mengingatkan kerajaan yang dipimpin Ismail supaya tidak mengulangi 'kesilapan' kerajaan lalu.

"Pendirian parti ini juga boleh ditakwilkan bahawa perdana menteri yang mengetuai kerajaan hari ini mempunyai kuasa-kuasa perlembagaan dan sehubungan itu, menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan kerajaan dapat berfungsi dengan baik dan tidak mengulangi kesilapan-kesilapan kerajaan terdahulu.

"Umno konsisten dalam pendiriannya. Kita telah pun memberikan sokongan kepada perdana menteri dan bagi pihak parti, saya akan memastikan kita akan terus menjadi mata, telinga dan suara rakyat dalam menyentuh soal-soal kesejahteraan mereka dan kemakmuran negara," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS