Menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, setakat ini, belum ada arahan untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang mengarahkan Putrajaya untuk melaksanakan Undi-18 Sebelum 31 Disember.
Justeru, katanya, kerajaan akan mematuhi perintah mahkamah untuk menurunkan usia minimum pengundi dari 21 ke 18 tahun sebelum tarikh ditetapkan.
"Kita laksanakan mengikut apa (ditetapkan) mahkamah.
"Kita nak rayu atau tidak ? Setakat ini tidak ada arahan kerajaan untuk merayu, justeru keputusan mahkamah adalah undang-undang yang perlu dipatuhi," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.
Selain itu, Wan Junaidi, yang juga Ahli Parlimen Santubong mengatakan bahawa dia perlu menunggu keputusan kabinet sama ada akan membuat rayuan atau tidak.
Sementara menunggu keputusan Jabatan Peguam Negara dan kabinet, dia berkata Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) perlu mematuhi keputusan mahkamah.
"Sebenarnya, kerajaan tidak kalah kes itu, kerana kita (pada awalnya) merancang untuk melaksanakan Undi-18 pada September 2022, tetapi mahkamah menginginkannya dilakukan sebelum 31 Disember," katanya pada sidang media di ibu pejabat SPR hari ini.
Usia pengundian baru telah diluluskan oleh Parlimen pada tahun 2019 tetapi masih belum dilaksanakan.
SPR perlu kakitangan tambahan
Dalam lawatannya ke SPR, Wan Junaidi mengatakan bahawa dia mengarahkan SPR untuk mematuhi keputusan mahkamah sebanyak mungkin.
Tambahnya, terdapat banyak rintangan yang harus diatasi oleh SPR mengenai Undi-18, termasuk untuk membuang nama pengundi yang sudah meninggal dunia, pengundi yang muflis dan tahanan.
Dia juga menyatakan bahawa lima negeri belum meluluskan perlembagaan negari dalam membenarkan pengundi berusia 18 tahun untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya negeri.
Menurutnya, pelaksanaan Undi-18 akan menyaksikan sejumlah 1.9 juta individu berusia antara 18 hingga 21 tahun akan didaftarkan sebagai pengundi, di samping 4.4 juta individu yang layak berumur di atas 21 tahun belum didaftarkan sebagai pengundi.
Dia juga berkata SPR memerlukan tenaga kerja tambahan dalam menangani pilihan raya akan datang.
Mengambil contoh pilihan raya negeri Sarawak, dia berkata ia mungkin memerlukan 16,000 pekerja dan sukarelawan sekiranya Undi-18 dilaksanakan.
Pada 3 September, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan kerajaan Malaysia untuk menurunkan usia minimum pengundi kepada 18 tahun di seluruh negara menjelang 31 Disember tahun ini.
Mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh lima anak muda Sarawak untuk memaksa kerajaan persekutuan melaksanakan penurunan usia mengundi dari 21 hingga 18 tahun.
Pada 25 Mac, SPR mengumumkan penundaan pelaksanaan Undi-18, termasuk pendaftaran pengundi automatik, hingga 1 September tahun depan.
Keputusan itu bermaksud bahawa anak muda berusia 18 hingga 20 tahun kemungkinan tidak akan dapat mengundi pada pilihan raya akan datang.
Susulan itu, sekumpulan 18 anak muda Malaysia, yang mewakili gerakan Undi-18, mengajukan semakan kehakiman pada 2 April, terhadap perdana menteri, kerajaan, dan SPR.
Tindakan undang-undang ini adalah di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan akan diputuskan pada 21 Oktober.
Pada masa ini, ada dua cabaran undang-undang yang serupa (satu di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan satu lagi di hadapan Mahkamah Tinggi Kuching) untuk memaksa kerajaan melaksanakan pindaan perlembagaan untuk menurunkan syarat usia minimum mengundi.
Pindaan terhadap Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan disahkan semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan dua tahun lalu.