Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada usul percaya pada PM, tiada usul tukar speaker
Diterbitkan:  Sep 7, 2021 1:47 PM
Dikemaskini: 6:03 AM

Usul percaya terhadap perdana menteri dan pengosongan jawatan speaker tidak dimasukkan sebagai agenda untuk sidang Dewan Rakyat minggu depan.

Berdasarkan kertas aturan mensyuarat, agenda pertama selepas membahaskan titah diraja ialah memilih timbalan speaker.

Perkara itu akan disusuli oleh usul menteri dalam negeri diikuti usul menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong oleh anggota parlimen Beaufort MP Azizah Mohd Dun.

Kerajaan kemudian akan membentangkan lima rang undang-undang (RUU) untuk bacaan kedua, termasuk Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020.

Terdapat juga lima RUU daripada pihak pembangkang.

Ismail Sabri Yaakob 

Tiga hari sebelum pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri, agong menitahkan supaya dia mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan kepercayaan majoritinya.

Bagaimanapun, pertikaian sama ada Ismail mempunya sokongan majoriti akan boleh dilihat pada 14 September apabila usul melantik timbalan speaker baru dibuat.

Perkembangan ini bermaksud tiada satu pun usul untuk menukar speaker Azhar Harun - yang dipilih ketika era perdana menteri Muhyiddin Yassin - diterima.

Azhar Harun 

Dua anggota parlimen pembangkang - Fahmi Fadzil (Lembah Pantai) dan Salahuddin Ayub (Pulai) sebelum ini secara terbuka mengaku menghantar usul itu.

Azhar menyerahkan perkara itu diputuskan oleh timbalannya Mohd Rashid Hasnon kerana dia mempunyai konflik percanggahan kepentingan.

Pada 4 September lalu, beberapa sumber Umno memberitahu Malaysiakini bahawa parti itu merancang menukar Azhar.

Susulan tidak dimasukkan dalam aturan mesyuarat, pilihan yang tinggal buat mereka hanyalah melalui usul tergempar di Dewan Rakyat.

[Berita penuh menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS