Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puad: Muhyiddin lebih berjiwa besar jika tolak jadi pengerusi MPN
Diterbitkan:  Sep 7, 2021 12:12 PM
Dikemaskini: 4:21 AM

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Mohd Puad Zarkashi berbeza pandangan dengan Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin, yang menyifatkan Muhyiddin Yassin berjiwa besar kerana menjadi pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) tanpa sebarang bayaran.

Bagi Mohd Puad, bekas perdana menteri itu lebih berjiwa besar sekiranya dia menolak pelantikan tersebut.

Dia berkata Muhyiddin sudah diberi peluang selama 17 bulan untuk memimpin negara menangani wabak Covid-19 tetapi telah gagal sehingga terpaksa letak jawatan.

"Bukankah Muhyiddin lebih berjiwa besar jika dia tidak menerima jawatan Pengerusi MPN? Dia sudah diberi peluang selama 17 bulan jadi Perdana Menteri.

"Kuasa seorang perdana menteri lebih besar daripada kuasa pengerusi MPN, tetapi dia gagal. Sepatutnya dia tidak terima jawatan tersebut apatah lagi kalau memintanya," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Pelantikan Muhyiddin diumumkan Ketua Setiausa Negara Mohd Zuki Ali pada 4 September lalu, kira-kira tiga minggu selepas berundur sebagai perdana menteri.

Semalam, Khairil Nizam yang juga ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) memuji Muhyiddin yang melaksanakan tugas sebagai pengerusi majlis itu tanpa sebarang imbuhan.

Khairil Nizam

Menurut Khairil, pendirian diambil Muhyiddin itu menunjukkan presiden Bersatu tersebut seorang yang berjiwa besar serta wajar dicontohi ahli politik lain.

"Tan Sri (Muhyiddin) juga membuktikan bahawa beliau seorang pemimpin yang berjiwa besar apabila menerima pelantikan tanpa segala bentuk imbuhan.

"Terima kasih Tan Sri kerana memberikan contoh yang baik untuk ahli politik senior yang lain dan juga kami yang junior ini," katanya dalam hantaran di media sosial.

Bagaimanapun Mohd Puad jelas kelihatan tidak setuju dengan kenyataan itu.

"Apa yang patut dicontohi? Sepatutnya bila sudah terbukti gagal dan terpaksa letak jawatan maka janganlah ambil balik jawatan.

"Bila CEO syarikat letak jawatan kerana syarikat rugi, maka apakah dia wajar dilantik semula untuk memulihkan prestasi syarikat?

"Maka wajarlah menteri kanan termasuk yang ada jawatan bertaraf menteri tidak lagi menerima jawatan menteri kerana terpalit dengan kerajaan gagal sebelum ini. Itu baru berjiwa besar namanya," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS