Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Mesyuarat PKR tumpu isu dalaman di N Sembilan, nyah warta hutan Kuala Langat'
Diterbitkan:  Sep 7, 2021 10:30 AM
Dikemaskini: 2:31 AM

Pergolakan dalaman PKR Negeri Sembilan dan isu nyah warta Hutan Simpan Kuala Langat Utara merupakan agenda utama dalam mesyuarat kepimpinan parti itu, kata pengarah komunikasinya Fahmi Fadzil.

Fahmi mengesahkan laporan laman The Vibes bahawa Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun telah dipanggil untuk memberi penjelasan selepas didakwa hilang sokongan sejumlah kepimpinan peringkat negeri sebagai pengerusi PKR Negeri Sembilan.

"Mesyuarat parti akan dibuat minggu ini dan kita telah minta MB jelaskan keadaan. Kita akan dapatkan laporan daripada negeri, bincangkan perkara ini dan cari penyelesaian yang baik," katanya seperti dipetik laman itu.

Pada Ahad lalu, sejumlah kepimpinan akar umbi PKR Negeri Sembilan dalam kenyataan menyatakan hilang keyakinan kepada Aminuddin sebagai pengerusi negeri, yang menurut mereka gagal "memperkasa cabang parti" dan membuat "beberapa keputusan tidak mengikut perlembagaan parti".

Mereka pada mulanya menggesa barisan kepimpinan negeri dirombak tetapi kemudiannya menggesa presiden, Anwar Ibrahim campur tangan.

Kenyataan itu didakwa susulan satu mesyuarat pada hari sama dan antara lain ditandatangani empat Adun, iaitu Ismail Ahmad (Labu), M Ravi (Sri Tanjung), Mohamad Rafie Ab Malek (Ampangan) dan Michael Yek Diew Ching (Chuah).

Bagaimanapun, The Star melaporkan yang Ravi menafikan menandatangani kenyataan itu.

Aminuddin Harun

Bagaimanapun, dia berkata Aminuddin perlu meletakkan jawatan sebagai pengerusi PKR negeri bagi membolehkannya memberi tumpuan penuh kepada tanggungjawabnya sebagai menteri besar.

Yek juga menafikan penglibatannya dan menggesa perkara itu diselesaikan secara dalaman.

Sementara itu, Fahmi berkata perubahan pentadbiran di Negeri Sembilan tidak akan membawa kebaikan kepada mana-mana pihak, terutama dengan keadaan penularan Covid-19 yang semakin mereda di negeri itu.

"Setakat ini, keadaan pandemik semakin bertambah baik di negeri itu. Beberapa langkah yang diambil kerajaan negeri agak berkesan.

"Kita ingin lihat kerajaan negeri berjaya (menangani wabak) dan kepimpinan akan adakan perbincangan minggu ini untuk menyelesaikan sebarang pertikaian," katanya lagi.

Ditanya siapakah yang akan hadir dalam mesyuarat itu, Fahmi berkata senarai hadirin belum disahkan.

"Tetapi saya percaya kita perlu memahami kedudukan mereka dan isu yang ada," katanya.

Aminuddin merupakan menteri besar daripada PKR kedua yang dipanggil kepimpinan parti itu, selepas Amirudin Shari berhubung isu nyah warta Hutan Simpan Kuala Langat Utara, yang juga akan menjadi tumpuan utama dalam mesyuarat minggu ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS