Pemuda Perikatan Nasional (PN) memuji langkah diambil Muhyiddin Yassin yang melaksanakan tugas sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) tanpa mengambil sebarang imbuhan.
Menurut ketuanya Khairil Nizam Khirudin pendirian diambil Muhyiddin menunjukkan presiden Bersatu itu berjiwa besar.
Lebih daripada itu Khairil Nizam juga menganggap tindakan Muhyiddin itu adalah sesuatu yang wajar dicontohi oleh orang lain termasuk ahli politik kanan.
"Tan Sri (Muhyiddin) juga membuktikan bahawa beliau seorang pemimpin yang berjiwa besar apabila menerima pelantikan tanpa segala bentuk imbuhan.
"Terima kasih Tan Sri kerana memberikan contoh yang baik untuk ahli politik senior yang lain dan juga kami yang junior ini," katanya dalam hantaran di media sosial semalam.
Muhyiddin merupakan perdana menteri kelapan Malaysia yang melepaskan jawatannya pada 16 Ogos lalu selepas hilang sokongan majoriti di parlimen.
Tempatnya kemudian diisi Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.
Ketika desas-desus menyatakan Muhyiddin akan dilantik sebagai menteri mentor dalam kabinet Malaysia mula reda, ahli parlimen Pagoh itu diumumkan menjadi pengerusi MPN.
Muhyiddin kemudian mengumumkan dia menerima tawaran kerajaan dan akan bertugas tanpa sebarang imbuhan.
Untuk rekod di sebalik pertukaran jawatan perdana menteri, pengkritik berpendapat tidak banyak perubahan dibuat Ismail Sabri berbanding apa yang dilakukan Muhyiddin sebelumnya.
Hal itu termasuklah pemilihan anggota kabinet dan lantikan politik seperti duta khas perdana menteri yang bertaraf menteri.
Sebelum ini Presiden PAS Abdul Hadi Awang turut memuji pelantikan Muhyiddin itu dan menganggap ia sebagai sesuai dengan pengalamannya.
Khairil Nizam berkata pelantikan mengetuai MPN menunjukkan kerajaan percaya kepada ketokohan dan kemampuan Muhyiddin selaku pengerusi PN untuk memimpin agenda besar.
Khairil Nizam yang juga ketua Pemuda PAS turut berdoa agar Allah sentiasa membimbing Muhyiddin untuk membuat keputusan yang tepat dan terbaik untuk Malaysia.
"Selamat bertugas, Abah," katanya.