Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak perlu pertikai kedudukan Aminuddin selaku MB, kata Loke
Diterbitkan:  Sep 6, 2021 6:30 PM
Dikemaskini: 11:40 AM

Ketika Aminuddin Harun berdepan dakwaan dia tidak lagi mendapat keyakinan sesetengah pemimpin parti, seorang ahli parlimen kanan menegaskan kedudukan pengerusi PKR Negeri Sembilan itu sebagai menteri besar tetap kukuh.

Menurut Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke ketika ini Aminuddin kekal mendapat keyakinan dan sokongan Adun Pakatan Harapan (PH) untuk terus menerajui kerajaan negeri.

Loke yang juga setiausaha organisasi DAP kebangsaan berkata Aminuddin tetap mendapat sokonga majoriti Adun Negeri Sembilan.

“Selagi YAB Sikamat (Aminuddin) mempunyai sokongan majoriti dalam DUN, kedudukan beliau sebagai menteri besar tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak," kata Loke selepas menghadiri sidangan pertama penggal keempat DUN Negeri Sembilan di Seremban.

Untuk rekod selain menjadi anggota parlimen Seremban, Loke juga memenangi kerusi DUN Chennah. Kenyataan Loke itu dipetik portal berita prokerajaan negeri, Negeri Kita.

Terdahulu Speaker DUN Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar, mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang surat daripada mana-mana Adun PH menarik balik sokongan mereka ke atas Aminuddin.

"Jawapan itu memberikan satu mesej yang kuat dan jelas kepada seluruh rakyat, bahawa kedudukan YB Sikamat jelas," kata Loke.

Harap selesaikan segera

Loke berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Negeri Sembilan akan menyaksikan pertukaran menteri besar ekoran ada laporan mendakwa akar umbi PKR negeri mahu kedudukan Aminuddin sebagai pengerusi negeri digantikan.

Mereka terdiri daripada Adun Chuah, Yek Diew Ching dan pemimpin enam daripada lapan cabang PKR di Negeri Sembilan iaitu Rasah, Port Dickson, Jelebu, Kuala Pilah, Rembau dan Seremban.

Loke berkata dari segi parti, terpulang kepada PKR untuk menentukan kedudukan Aminuddin sebagai pemimpin peringkat negeri kerana itu adalah isu dalaman mereka.

Anthony Loke

Namun katanya di peringkat kerajaan negeri ia tidak akan menjejaskan kedudukan Aminuddin sebagai menteri besar.

"Kita sudah ada duluan apabila perdana menteri hari ini bukan presiden parti, itu jelas.

"Justeru selagi Sikamat mempunyai sokongan majorit dalam DUN kedudukannya sebagai menteri besar tidak perklu dipertikaikan oleh mana pihak.," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PH Negeri Sembilan Mohd Hanis Alimin menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Aminuddin sebagai menteri besar sehingga tamat penggal ini.

"Sehingga hari ini, pengurusan pentadbiran yang dipamerkan Aminuddin begitu telus dengan akauntabiliti yang cermat dan tidak berlaku sebarang salah guna kuasa.

"Ini juga diperakui oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan melalui titah semasa sesi pembukaan Sidang DUN Jumaat lalu, bahawa kerajaan negeri pimpinan Aminuddin sangat cemerlang dengan berusaha mengutip hasil ke paras yang membanggakan iaitu sebanyak 98 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, krisis dalaman yang sedang melanda PKR Negeri Sembilan sekarang merupakan perkara biasa dalam mana-mana parti politik.

"Diharapkan agar krisis ini dapat diselesaikan dengan harmoni dalam suasana kekeluargaan sesegera mungkin agar fokus utama kerajaan negeri hari ini untuk mensejahterakan rakyat tidak akan terpesong," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS