Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Saman yang dikemukakan Ismail Sabri Yaakob ke atas bekas ketua Srikandi Bersatu, Anina Saadudin, diselesaikan selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan hari ini.

Ismail Sabri selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu atas kapasiti peribadi.

Persetujuan penyelesaian itu direkodkan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Firuz Jaffril tengah hari tadi. Peguam plaintif Ragunath Kesavan mengesahkan persetujuan itu.

"Pihak yang berkaitan mencapai persetujuan berdasarkan kepada syarat perintah injuksi sebelum ini.

"Tiada arahan bayaran bagi sebarang kos atau ganti rugi," kata peguam itu .

Ragunath juag menambah keputusan hari ini merupakan penyelesaian menyeluruh dan terakhir berhubung tindakan undang-undang yang dibuat.

Pada 11 Mac lalu, Ismail Sabri memperoleh perintah interim injunksi daripada mahkamah untuk memaksa Anina dengan serta-merta memadamkan semua kenyataan fitnah di laman Facebooknya.

Sementara itu, Anina memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia sudah memadam hantaran yang disebutkan dalam tuntutan saman itu dan juga telah menfailkan penyataan pembelaannya hari ini.

Pemimpin Umno berusia 61 tahun itu, melalui firma guaman Tetuan Kesavan, mengajukan tuntutan itu pada 5 Mac, dengan menamakan Anina, 46, sebagai defendan.

Semakan e-filing dalam talian badan kehakiman menunjukkan bahawa firma undang-undang Tetuan Kesavan, yang mewakili Ismail Sabri menulis surat kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 September, memaklumkan plaintif dan defendan telah mencapai kata sepakat untuk merekod perintah persetujuan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail Sabri mendakwa Anina menyiarkan 13 kenyataan fitnah dan memuat naik video di laman Facebooknya.

Plaintif mendakwa kiriman dalam talian itu menuduh dia sebagai tidak cekap dalam melaksanakan tugasnya untuk memerangi Covid-19 di bawah PKP.

Dia mendakwa 13 kenyataan itu, yang didakwa dibuat oleh Anina antara 5 Februari dan 3 Mac, juga dikongsi oleh pengguna Facebook lain.

Ismail Sabri mendakwa pernyataan tersebut menyiratkan bahawa dia hanyalah "boneka" dalam melaksanakan perintah perdana menteri, dan bahawa dia adalah menteri kanan yang tidak cekap.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS