mk-logo
Berita
Biar Parlimen lantik ketua pesuruhjaya SPRM, kata TI-M
Diterbitkan:  Sep 6, 2021 3:50 PM
Dikemaskini: 7:50 AM

Transparency International Malaysia (TI-M) menyokong penuh cadangan Presiden Dewan Negara, Rais Yatim agar SPRM diletakkan secara langsung di bawah bidang kuasa Parlimen.

Presiden TI-M Muhammad Mohan berkata, dengan tindakan itu, pelantikan ketua pesuruhjaya suruhanjaya pencegahan rasuah tersebut akan menjadi sebagai hak prerogatif Parlimen.

“Langkah ini dipercayai dapat meningkatkan tahap kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap SPRM, sambil meletakkan SPRM bebas dari pengaruh kuasa eksekutif.

“Pembaharuan sedemikian secara logik juga bermakna pelantikan ketua pesuruhjaya menjadi sebagai hak prerogatif Parlimen setelah mendapat cadangan dari Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai calon yang berkelayakan.

“Ini berbeza dengan Seksyen 5, Akta SPRM 2009 yang menyatakan bahawa Ketua Pesuruhjaya dilantik oleh Yang diPertuan Agong atas nasihat perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad berkata bahawa ini adalah sebahagian daripada reformasi institusi yang dicadangkan oleh TI-Malaysia sebelum ini.

Menurutnya, situasi sekarang menjadi masalah kerana kebebasan SPRM terjejas sekiranya pemilihan calon untuk jawatan ketua pesuruhjaya berada di bawah kuasa perdana menteri.

“Selanjutnya, tempoh jawatan ketua pesuruhjaya harus tetap dan beliau tidak boleh disingkirkan walaupun terdapat pertukaran kerajaan.

“Juga, sama seperti seorang hakim, pemecatan sepanjang tempoh ketua pesuruhjaya hanya boleh dibuat berdasarkan alasan yang ditentukan dan dipengerusikan oleh satu tribunal khas,” kata Muhammad.

Rais Yatim, Presiden Dewan Negara

Sebelum ini, Rais berkata bahawa cadangan agar SPRM diletakkan terus di bawah Parlimen sedang dikaji.

Katanya, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang dpengerusikannya bersetuju dengan pandangan banyak pihak yang mahu agensi itu bebas berkecuali tanpa pengaruh tekanan politik pihak eksekutif.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS