Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ATM tahan 28 pendatang asing di Kota Tinggi

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan 28 imigran warga Indonesia yang menceroboh masuk ke negara ini melalui jalan laut selepas ditemukan bersembunyi di tepi pantai Jalan Tanjung Balau, Sedili Kechil dekat Kota Tinggi, hari ini.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia menerusi kenyataan memaklumkan 25 lelaki dan tiga wanita berumur antara 17 hingga 51 tahun itu diberkas menerusi Op Benteng pada 2.30 pagi tadi.

Anggota petugas di Pos Pemerhati terdahulu telah mengesan pergerakan bot yang mencurigakan di sekitar kawasan Bio Desaru, Bandar Penawar pada 1.30 pagi, sebelum menggerakkan pasukan Tindakan Cepat (QRF) untuk melakukan pemeriksaan.

“Hasil penjejakan yang dilakukan telah mengesan 26 imigran yang sedang bersembunyi di tepi pantai dan berjaya ditahan bersama dua lagi imigran di lokasi yang berhampiran. Dipercayai mereka baru saja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah,” menurut kenyataan itu.

Turut dirampas wang berjumlah RM1,004 dan mata wang Indonesia bernilai RM7,870 serta 23 telefon bimbit.

Menurut kenyataan itu, pasukan QRF juga pada sama akan terus melakukan penjejakan berikutan terdapat kemungkinan saki-baki imigran di sekitar kawasan tangkapan.

Kesemua imigran tersebut dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19, sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS