Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA rangka undang-undang pecat wakil rakyat
Diterbitkan:  Sep 6, 2021 1:23 PM
Dikemaskini: 6:21 AM

MCA sedang merangka undang-undang baru untuk mengelakkan kegiatan lompat parti.

Dinamakan Rang Undang-undang Pilihan Raya Pecat Dewan Rakyat, undang-undang ini akan membolehkan pilihan raya pecat berlaku dalam dua keadaan:

1) Perwakilan terpilih melakukan kesalahan di bawah yang ditetapkan dalam undang-undang atau disabitkan atas kesalahan kecil yang tidak mengakibatkan hilang kelayakan di bawah undang-undang lain; atau,

2) Petisyen penarikan balik mandat terhadap wakil rakyat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disokong oleh 10 peratus pengundi.

Sekiranya salah satu daripada dua syarat itu dipenuhi, pengundian semula harus diadakan. Undian hanya akan berjaya sekiranya sekurang-kurangnya 25 peratus pengundi dan separuh daripadanya memilih supaya pilihan raya kecil (PRK) diadakan.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Setiausaha MCA dan ketua Jawatankuasa Rang Undang-Undang (RUU) MCA Chong Sin Woon berkata bahawa RUU yang dicadangkan ini, jika diluluskan, dapat menjadikan Malaysia lebih demokratik.

"Kami percaya bahawa pengenalan RUU ini akan membuat anggota Parlimen lebih bertanggung jawab atas tindakan mereka, sehingga mereka berisiko dipecat," katanya.

Chong berkata undang-undang seumpamanya telah diamalkan di United Kingdom dan Taiwan.

MCA antara pihak terbaru yang bergabung dengan NGO Bersih, ahli akademik Wong Chin Huat dan bekas timbalan speaker Dewan Rakyat Azalina Said Othman dalam menuntut pilihan raya pecat.

Sejak pilihan raya 2018, terdapat berpuluh-puluh kejadian lompat parti yang menyebabkan 18 ahli parlimen berpaling tadah dari Umno menjadi Bersatu, "Langkah Sheraton" dan perubahan kerajaan di Perak, Kedah, Sabah, Melaka dan Johor.

Chong berkata RUU itu masih dalam proses.

Dia tidak mendedahkan bila MCA akan meminta ahli parlimen mereka untuk membentangkan RUU persendirian mengenai perkara itu.

Sementara itu, Chong berkata MCA juga sedang mengkaji undang-undang lain berkaitan dengan nyah jenayah cubaan bunuh diri, reformasi Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) dan Kanun Tanah Negara, antara lain.

"MCA selalu menjadi pihak yang berkhidmat, dan kejayaan RUU ini bergantung pada sokongan ahli parlimen yang berfikiran sama yang menginginkan Malaysia yang lebih baik dan adil," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS