Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) mengingatkan penggiat industri pelancongan di Pulau Langkawi khususnya ahli agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan susulan pembukaan semula pulau peranginan itu kepada pelancong tempatan pada 16 Sept ini.
Presiden MATA Datuk Mohd Khalid Harun berkata SOP ketat yang ditetapkan kerajaan bagi mencegah penularan Covid-19 di Pulau Langkawi akan dijadikan kayu ukur bagi pembukaan pusat peranginan lain seperti Pulau Redang, Pulau Kapas, Pulau Tioman, Pulau Pangkor, Sipadan, Pulau Rawa dan lain-lain.
“Selain itu, MATA juga turut menasihatkan pelancong untuk turut mematuhi SOP bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata MATA turut berterima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) atas usaha menjadikan Langkawi sebagai projek rintis destinasi gelembung pelancongan yang memberikan kelegaan kepada banyak pihak.
“MATA percaya pengumuman ini adalah berita gembira buat rakyat Malaysia serta dapat memberikan kelegaan dan sinar buat penggiat industri pelancongan yang telah lama terjejas susulan penutupan keseluruhan rantaian sektor pelancongan akibat pandemik Covid-19,” katanya.
Minggu lepas, MOTAC turut mengumumkan kebenaran untuk tujuh aktiviti pelancongan utama di Langkawi beroperasi semula antaranya snorkeling, selam skuba dan juga aktiviti eko geo-kembara.
- Bernama