Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wakil DAP gesa tetapkan tarikh peperiksaan CLP
Diterbitkan:  Sep 6, 2021 12:54 PM
Dikemaskini: 4:54 AM

Pelajar undang-undang yang sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) tidak boleh dibiarkan dalam keadaan tidak menentu berhubung tarikh peperiksaan itu, kata anggota Parlimen DAP Ong Kian Ming (Bangi) dan Teo Nie Ching (Kulai).

Sehingga hari ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih belum menentukan tarikh untuk peperiksaan itu.

Ahli Parlimen DAP berkenaan mahu Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LKPU) untuk bersikap proaktif dan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) agar peperiksaan itu dapat diadakan.

"LKPU harus membuat SOP sendiri untuk mengadakan peperiksaan agar pelajar mengambil peperiksaan sebaliknya tidak perlu menunggu MKN memutuskan SOP.

"Oleh kerana semakin hari semakin ramai golongan dewasa di Malaysia diberi vaksin sepenuhnya, peperiksaan secara fizikal seharusnya dapat dilakukan dengan tertakluk kepada SOP yang ketat," kata Ong dan Teo dalam kenyataan hari ini.

LPKU sebelum ini telah mengumumkan bahawa peperiksaan CLP untuk tahun 2021 akan diadakan antara 20 Feb dan 20 Apr 2022, tertakluk kepada kelulusan MKN, tanpa menetapkan tarikh yang tepat.

Ong dan Teo berkata Majlis Peguam Malaysia dan institusi pengajian tinggi swasta harus berperanan lebih aktif dalam menyokong pelajar CLP dan juga program itu.

"Walaupun pelajar CLP ini belum menjadi anggota Majlis Peguam, sebahagian daripada mereka akan layak menjadi anggota majlis itu dan akan bekerja untuk firma guaman.

"Tidak ada alasan mengapa Majlis Peguam tidak dapat mengambil peranan yang lebih proaktif dalam memperjuangkan hak mereka yang sedang menunggu menduduki peperiksaan CLP.

"Pada masa yang sama, beberapa institusi pengajian tinggi yang menawarkan ijazah undang-undang dan juga program CLP juga harus menyokong pelajar-pelajar ini yang telah mempelajari undang-undang dan ingin memenuhi syarat untuk menyertai majlis peguam sebagai anggotanya," kata mereka.

Ong dan Teo menambah bahawa semua pihak berkepentingan supaya bersatu dalam membincangkan kemungkinan model ujian hibrid / dalam talian untuk CLP, merujuk kepada pindaan Peraturan Mahkamah 2012 tahun lalu, yang memungkinkan prosiding mahkamah dijalankan secara dalam talian.

"Begitu juga, LPKU harus memahami norma baru dan mengalu-alukan kemungkinan peperiksaan CLP diadakan secara dalam talian dengan perlindungan seperti e-Proctoring dilaksanakan," kata mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS