Anak istimewa yang selalu didefinisikan sebagai golongan orang kurang upaya (OKU) lahir dengan kelainan tertentu sehingga menyebabkan mereka perlukan bantuan untuk melakukan sesuatu.
Menyedari hakikat itu seorang guru program pendidikan khas integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan Klang mengambil inisiatif untuk memberikan pengalaman indah untuk pelajarnya.
Untuk itu dia membina sebuah alat bantu latihan dikenali sebagai 'Caballus' sejak 2019 lalu bagi merialisasikan impian pelajarnya yang tergolong dalam kategori OKU penglihatan untuk menyertai aktiviti sukan.
Wan Muadzam Wan Abidin, 40, atau lebih mesra disapa sebagai Cikgu Azam berkata, idea awal yang mencetuskan Caballus bermula apabila seorang muridnya, Alisya, teringin untuk menyertai acara larian ria (fun run) sejauh 5km sama seperti saudaranya yang lain.
"Jadi saya telah tergerak hati untuk memenuhi impian pelajar saya termasuk Alisya yang sebelum itu berkongsi rasa cerita bagaimana kakaknya gemar menyertai fun run tapi enggan membawa dia bersama," katanya.
Menurut cikgu itu lagi, Alisya mungkin bercerita dan mengadu kepadanya mungkin sebab tahu dia sering menyertai acara maraton atau separuh maraton.
Kini semakin berusia
Sejak itu kata Wan Muadzam terfikir, alangkah baiknya jika dapat diwujudkan alat bantuan untuk pelajarnya menyertai aktiviti sukan secara selamat serta tidak diganggu orang lain.
"Tambahan pula usia Alisya semakin meningkat dewasa, jadi dengan adanya Caballus ini saya dapat menjaga jarak dan tidak perlu ada sentuhan semasa melakukan aktiviti," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Wan Muadzam yang juga guru sukan dan olahraga sekolah berkenaan berkata, faktor usia yang semakin meningkat juga mendorongnya untuk membina Caballus.
Hal ini kerana kebiasaannya sebagai guru atau jurulatih kepada pelajar-pelajar OKU penglihatan, dia terpaksa mengerah tenaga sendiri berlatih dan berlari bersama pelajar sebagai penunjuk arah.
"Saya sudah kepenatan apabila melatih pelajar-pelajar saya kerana perlu berlari 1km hingga 5km setiap kali latihan. Kalau ada tiga orang pelajar, saya perlu bawa mereka semua berlari.
"Dulu mungkin tidak ada masalah kerana saya masih muda dan kuat tetapi sekarang usia sudah 40 tahun, saya rasa sudah cukup kerana terlalu penat," katanya.
Perlukan kos lebih besar
Terdahulu, beberapa klip video yang memaparkan Wan Muadzam sedang melakukan latihan larian bersama muridnya menggunakan Caballus tular di media sosial.
Ia kemudian mendapat pujian ramai yang kagum dengan kesungguhan guru terbabit serta kegembiraan pelajar yang terbabit.
Menurut Wan Muadzam, kos menghasilkan Caballus adalah hasil wang koceknya sendiri selain bantuan daripada rakan-rakan guru lain.
"Setakat ini saya tidak berniat untuk menjual alat ini sebab ia masih dalam proses pembangunan. Saya meletakkan ini sebagai hak cipta atas nama sekolah bukan diri sendiri.
"Saya tidak berniat untuk komersialkan projek saya ini lagi kerana masih banyak percubaan demi percubaan untuk menguji ketahanan serta menjadikan ia lebih sesuai dan pelbagai guna barulah saya bersedia untuk komersialkannya," ujarnya.
Tambah Wan Muadzam, pada peringkat awal ideanya menghasilkan alat berkenaan kurang mendapat sambutan. Pun begitu, katanya, ia mungkin kerana mereka kurang memahami maksud sebenarnya.
Tetapi setelah berjaya dihasilkan, katanya, barulah mereka menerima dengan baik.
Alat tersebut kata Wan Muadzam telahpun digunakan semasa menyertai acara larian ria bersama Alisya pada 8 Feb tahun lalu.
Malaysiakini difahamkan Wan Muadzam sedang berusaha melakukan penambahbaikan ke atas projek pembinaan Caballus versi ketiga untuk menjadikannya lebih kukuh dengan kombinasi logam ringan dan polyvinyl chloride (PVC).
Bagaimanapun projek yang memakan kos yang lebih tinggi itu tergendala untuk seketika disebabkan wabak Covid-19.