Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno cadang Azalina jadi speaker Dewan Rakyat - sumber

Umno mencadangkan Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said sebagai speaker Dewan Rakyat yang baru, kata sumber.

Ini ketika speaker parlimen Azhar Harun berhadapan sekurang-kurangnya 15 usul daripada penggubal undang-undang yang mahu speaker Dewan Rakyat ditukar.

Menurut sumber dalaman parti itu, Azalina menjadi calon pilihan Umno selepas berpendapat jawatan berkenaan perlu diterajui parti tersebut.

"Kerajaan hari ini bukan kerajaan Perikatan Nasional. Ini kerajaan 'Keluarga Malaysia' dipimpin oleh Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.

"Umno berpandangan jawatan speaker perlu diberikan kepada parti kami.

"Umno lihat Art (Azhar) Harun sebagai 'orang Bersatu'," kata sumber itu yang tidak ingin mendedahkan namanya itu.

Azalina merupakan timbalan speaker era pentadbiran PN yang meletak jawatan pada Ogos lalu selepas kerajaan pusat baru diterajui oleh Ismail Sabri.

Terdahulu, Azalina disebut-sebut akan dilantik sebagai menteri undang-undang.

Pun begitu, namanya tidak disenaraikan dalam barisan kabinet diumumkan oleh Ismail Sabri.

Dalam pada itu, dua ahli Majlis Tertinggi Umno turut mengesahkan parti memilih Azlina sebagai calon speaker baru.

"Ya, Azalina dipilih. Presiden masukkan usul cadangan," kata salah seorang ahli MKT yang tidak mahu mendedahkan namanya kepada Malaysiakini.

Malaysiakini sedang menghubungi Azhar untuk mendapatkan pengesahan.

Sidang Dewan Rakyat - yang pada mulanya dijadual bermula 6 September hingga 30 September ditangguh seminggu.

Melalui notis kepada ahli parlimen, Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin memaklumkan sidang akan datang bermula pada 13 September sehingga 12 Oktober.

Azhar sebelum ini berkata dia menyerahkan kepada perdana menteri baru untuk memutuskan sama ada khidmatnya masih diperlukan sebagai speaker Dewan Rakyat untuk persidangan sesi parlimen akan datang atau sebaliknya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS