Bekas perdana menteri Najib Abdul Razak mempertikaikan laporan berita yang mendakwa anaknya Mohamad Nizar telah bersetuju untuk membayar tunggakan cukai sebanyak RM13.16 juta.
Dalam catatan di Facebook, Najib menjelaskan bahawa walaupun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menuntut RM13.16 juta, jumlah yang harus dibayar setelah mencapai penyelesaian jauh lebih sedikit.
"LHDN tuntut RM13.16 juta tetapi apa yang akhirnya dipersetujui antara LHDN dengan anak saya pada bulan Mei ialah satu jumlah yang jauh, jauh, jauh lebih rendah - sekaligus membuktikan bahawa angka-angka yang dikenakan ke atas anak saya oleh LHDN masa (pentadbiran) PH adalah sangat melampau dan bermotif politik," katanya.
"Namun, angka sebenar yang dibayar tidak boleh didedahkan secara umum sebab ada syarat sulit yang diletak oleh pihak LHDN.
"Kita tak bantah sekiranya LHDN mahu dedahkan jumlah penyelesaian sebenar," tambahnya.
LHDN telah menuntut tunggakan tahun taksiran antara tahun 2011 dan 2017. Perintah persetujuan, atau penyelesaian, telah dirundingkan dengan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) pada 27 Mei.
Biasanya, LHDN tidak mengumumkan jumlah tuntutan dan jumlah penyelesaian awam yang mereka tuntut.
Walau bagaimanapun, jumlah yang diminta dari Nizar telah diumumkan dalam tuntutan oleh LHDN untuk menuntut tunggakan itu pada tahun 2019.
LHDN telah mengemukakan tuntutan yang serupa terhadap Najib atas tunggakan cukai berjumlah RM1.69 bilion dan adiknya Mohd Nazifuddin untuk tunggakan berjumlah RM37.6 juta.
Saudara tiri Nizar, Riza Aziz, diberi pelepasan tanpa pembebasan atas tuduhan mengubah wang AS$248 juta (RM1.08 bilion) yang dikaitkan dengan 1MDB setelah bersetuju untuk menyelesaikannya.
Najib adalah satu-satunya orang dalam keluarganya yang telah disabitkan kesalahan. Perbicaraannya di hadapan PKCP dijadualkan pada 3 Januari tahun depan.