Polis merampas semua telefon milik tujuh aktivis yang berkaitan dengan Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) ketika satu lagi sesi soal siasat berhubung hasutan.
Soal siasat berkaitan himpunan #Lawan kedua yang dibatalkan.
Kumpulan aktivis itu tiba di balai polis Dang Wangi diiringi peguam pada kira-kira pukul 10.15 pagi tadi. Mereka keluar kira-kira sejam kemudian disambut sorakan para penyokong yang berkumpul di luar.
Bercakap dengan pemberita, anggota SSR Mohamad Abdullah Alshatry - yang juga salah seorang yang disiasat - berkata pihaknya mengecam rampasan peralatan milik mereka.
"Kami disasat lebih kurang sejam di bawah Akta Hasutan. Semua telefon kami dirampas.
"Setakat ini kami tidak tahu polis akan mendakwa kami atau tidak.
"Kami rasa ini amat melampau kerana kami telah beri kerjasama tetapi pada masa sama mereka juga rampas telefon kami. Kami memang mengecam tindakan ini," katanya.
Seorang lagi yang disiasat, jurucakap SSR Mohammad Asraf Sharafi Mohammad Azhar menyifatkan siasatan yang sedang berjalan itu sebagai membazir sumber dan tenaga polis.
"Siasatan terhadap aktivis yang hanya menjalankan tanggungjawab mereka yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan adalah satu bentuk gangguan dan intimidasi berterusan untuk memijak perlawanan rakyat dan anak muda yang hanya inginkan negara ini ditadbir dengan lebih baik dan demokratik.
"Apatah lagi siasatan serta tekanan kepada rakyat biasa lebih laju dan keras berbanding siasatan kepada barisan menteri atau politikus yang mesra kerajaan," katanya.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan dengan Sinar Harian yang mereka dipanggil berhubung penglibatan dalam protes #lawan bertarikh 21 Ogos yang telah dibatalkan.
Noor Dellhan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, SSR mengumumkan protes kedua yang dirancang pada 21 Ogos susulan protes pertama pada Julai yang mendesak perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin untuk letak jawatan.
Mereka pertama kali dipanggil untuk soal siasat pada 13 Ogos dan siasatan tersebut diteruskan walaupun protes kedua itu dibatalkan, susulan peletakan jawatan Muhyiddin.
Selain Mohamad dan Asraf, lima lagi yang disiasat ialah Qyira Yusri, Tharmalinggam Pillai, Dobby Chew, Sarah Irdina dan Amir Abdul Hadi.
Antara yang hadir memberi sokongan adalah penyelaras program CSO Platform for Reform Beverly Joeman yang turut membacakan kenyataan mewakili 80 NGO yang menggesa Akta Hasutan 1948 dihapuskan segera.
"Tahun ini sahaja, sepanjang Januari sehingga Ogos, dalam pemantauan kami mendapati sebanyak 17 kes melibatkan 37 individu, pembela hak asasi manusia dan karyawan telah disiasat di bawah akta yang menindas dan kuno ini.
"Semenjak kerajaan PN memegang kuasa pada Mac 2020, Akta Hasutan digunakan terus menerus sebagai senjata untuk menekan perbezaan pendapat dan perbahasan yang kritikal di Malaysia," katanya.
Polis tidak menyuraikan sejumlah penyokong yang hadir tetapi memberi peringatan secara kuat berkenaan penjarakan fizikal - dilihat sebagai tindakan untuk menenggalamkan suara individu yang berucap.
Ramai yang hadir mengenakakan pakaian tradisional, selain membawa Jalur Gemilang dan bendera negeri-negeri.
Mereka juga membawa sepanduk membantah Akta Hasutan.
Selain polis berpakaian biasa yang berada di situ, seorang lelaki asing lengkap bersut - dipecayai daripada kedutaan negara luar - turut dilihat memerhati himpunan dari jauh.