Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kit Siang puji Ismail kerana kenyataan 'tiada siapa terkecuali dari undang-undang'
Diterbitkan:  Sep 4, 2021 9:19 AM
Dikemaskini: 1:19 AM

Ahli parlimen pembangkang Lim Kit Siang memuji Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang mengatakan semalam bahawa "tidak ada sesiapa yang terkecuali dari garis undang-undang"

"(Ini) memperkuat keyakinan bahawa perdana menteri baru akan menegakkan undang-undang dan prinsip pemerintahan yang baik.

"(Ini juga) mencerahkan prospek perjanjian keyakinan, pembekalan dan pembaharuan antara kerajaan dan pembangkang," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Ujian pertama Ismail, kata Lim, adalah untuk tidak membuat rayuan dan sebaliknya menegakkan keputusan Mahkamah Tinggi Sarawak di Kuching yang memerintahkan kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menurunkan usia mengundi kepada 18 tahun pada akhir tahun ini.

"Sekiranya Ismail berpegang pada kata-katanya seperti ciapan Twitternya, dia akan lulus ujian ini," kata Lim.

Lim merujuk kepada ciapan Ismail semalam mengenai kematian S Thava Sagayam, 64, yang meninggal dunia setelah bertarung nyawa di hospital selama lapan bulan berikutan diserang oleh seorang individu.

"Keadilan harus ditegakkan. Tiada sesiapa terkecuali daripada garis undang-undang," kata Ismail, tidak lama setelah menghubungi keluarga Thava Sagayam semalam.

Individu yang didakwa menyerang Thava Sagayam - Noor Azhar Muhammad - pada mulanya dituduh di mahkamah "menyebabkan kecederaan parah".

Susulan kematian Thava Sagayam, beberapa pihak menggesa kes itu disiasat sebagai kes bunuh.

Ciapan Ismail adalah balasan kepada ahli parlimen pembangkang M Kula Segaran, yang telah memberikan sokongan kepada keluarga Thava Sagayam.

Sejak mengambil alih kerajaan pada 21 Ogos, Ismail menunjukkan bahawa dia akan lebih inklusif daripada perdana menteri sebelumnya.

Dia telah memulakan perbincangan dengan pemimpin tertinggi Pakatan Harapan serta memberi ruang kepada pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas mengenai Covid-19.

Berikutan itu, para pemimpin PH nampaknya mula lebih terbuka kepada Ismail, yang dilantik menjadi perdana menteri dengan majoriti yang sangat tipis di Dewan Rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS