Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
LRA Sg Semenyih henti tugas lagi, menteri jamin tindakan tegas
Diterbitkan:  Sep 3, 2021 10:01 PM
Dikemaskini: 2:01 PM

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sungai Semenyih) akan dihenti tugas berikutan pencemaran bau yang dikesan petang tadi.

Ini merupakan pencemaran bau kedua dalam masa tiga hari apabila LRA sama turut dihenti tugas pada 31 Ogos lalu.

Kali ini juga, 463 kawasan dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual - sama seperti sebelum ini - iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).

Menurut Air Selangor, pencemaran bau kali ini dikesan di Sungai Semenyih pada jam 5.15 petang tadi.

“Air Selangor sedang bekerjasama dengan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) bagi mengenal pasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak-anak sungai di sekitar Sungai Semenyih.

“Kesemua kawasan yang terjejas adalah sama seperti senarai kawasan gangguan air tidak berjadual baru-baru ini,” kata Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Air Selangor telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menyediakan bantuan bekalan air alternatif kepada para pengguna yang terlibat, membabitkan 94 lori tangki.

Katanya lagi, pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan terlibat menerusi laman sesawang serta aplikasi Air Selangor, selain merujuk saluran komunikasi Air Selangor di talian 15300, dan mengajukan pertanyaan atau aduan menerusi Help Centre di laman sesawang dan aplikasi Air Selangor.

“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa,” katanya lagi

Untuk rekod, LRA Sungai Sungai Semenyih dihenti tugas pada 31 Ogos lalu selepas pencemaran bau dikesan di stesen pam air mentah Jenderam Hilir.

Bekalan air di kawasan yang terjejas hanya pulih sepenuhnya pada jam enam petang semalam.

Sementera itu, Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil pada kadar segera ke atas pihak yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran bau berkenaan.

“Pihak Span (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara), JAS (Jabatan Alam Sekitar), Air Selangor dan Luas bersama pihak polis akan bertindak terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab melepaskan efluen ke dalam longkang.

“Tindakan tegas termasuk tangkapan akan dibuat dengan segera. Insya-Allah,” katanya dalam kenyataan ringkas di Facebook.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS