Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KJ akan bincang dengan KPM cadangan wajib vaksin ke atas guru

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata dia akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan Radzi Jidin berhubung langkah mewajibkan vaksinasi kepada guru.

Bercakap dengan pemberita, Khairy berkata mereka sedang melihat jika imunisasi Covid-19 boleh diwajibkan ke atas guru, serta isu perundangan yang berkaitan dengannya.

"Kita kena bincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) kerana ini juga ada implikasi undang-undang.

"Saya perlu berbincang dengan menteri pendidikan tentang langkah mewajibkan mengikut sektor (untuk guru), sama ada ia boleh diwajibkan atau tidak," katanya.

Dalam sidang media dua hari lalu, Khairy berkata kerajaan masih mengekalkan dasar tidak mewajibkan vaksin dan akan meneruskan pendekatan untuk menggalakkan orang ramai mendapatkannya.

Ia termasuklah memberi kelebihan tertentu kepada mereka yang sudah lengkap divaksin.

Bagaimanapun kata Khairy, pihaknya juga menggalakkan "pujukan sektor", di mana syarikat atau agensi boleh meletakkan vaksinasi sebagai syarat bagi pekerja datang ke tempat kerja.

Ia termasuklah sekolah jika mereka ingin memujuk guru untuk mendapatkan vaksin.

Isu guru yang menolak vaksin mencetuskan kebimbangan terutama dengan kerajaan merancang untuk membuka semula sekolah.

Ini kerana golongan berusia bawah 18 tahun belum divaksin dan maka tiada perlindungan terhadap coronavirus.

Ia juga mendapat perhatian Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang semalam menyuarakan kebimbangannya berhubung perkara itu.

Ditanya jika ada sektor lain yang mungkin turut dikenakan arahan wajib vaksinasi, Khairy berkata antara sektor yang sedang mempertimbangkannya adalah sektor perjalanan.

Katanya, KKM akan menyerahkan keputusan berkenaan perkara itu kepada sektor atau syarikat.

"Saya rasa sektor perjalanan sedang menelitinya.

"Bergantung kepada mereka untuk laksanakan di peringkat sektor atau syarikat.

"Misalnya, jika syarikat penerbangan bertegas anda perlu divaksin, atau (memerlukan anda) buktikan sudah terima vaksin, maka itu terpulang kepada mereka."

Perjalanan rentas negeri

Khairy juga membayangkan yang KKM mungkin mencadangkan kerajaan untuk membenarkan perjalanan rentas daerah dan negeri tak lama lagi.

Namun, katanya, ia hanya boleh dilakukan selepas kadar vaksinasi mencapai 60 peratus populasi dewasa di setiap negeri.

"Saya sudah bincangkan (perkara ini) dengan (ketua pengarah kesihatan) Dr Noor Hisham Abdullah. Kita sudah ada cadangan dan akan bawa ke Majlis Keselamatan Negara dalam masa terdekat.

"Ada harapan (ia akan dibenarkan). Tapi saya minta sabar sedikit lagi (dan beri kami) sedikit masa lagi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS